Tutorial 2
Tajuk: Huraikan
hubungan personaliti dengan tingkah laku dalam sukan dan senaman serta strategi
kognitif dan kejayaan dalam sukan?
Menurut Kamus Dewan
Edisi Keempat (2005;1194) personaliti ditakrifkan sebagai keperibadian dan
perwatakan seseorang individu. Secara umumnya, personaliti bermaksud sahsiah,
keperibadian atau perwatakan seseorang. Berikut merupakan antara definisi
berkaitan personaliti yang diberikan oleh tokoh-tokoh. Personaliti adalah pola—pola
atau tingkah laku seseorang individu yang dijelmakan dalam kehidupan seharian
masing-masing. (Mishel, 1968). Selain itu, personaliti sebagai satu organisasi
dinamik sistem psikofizikal pada seseorang individu yang menentukan tingkah
laku dan fikirannya yang khusus. (Allport, 1961). Selain itu, ada yang
menyatakan bahawa personaliti sebagai corak keseluruhan individu yang
merangkumi pelbagai aspek termasuk cara berfikir, berasa, bertingkah laku dan
cara berhubung dengan alam sekitarnya. (Kagen dan Segal, 1988).
Definisi personaliti seperti mana
yang diberikan oleh Nada Abi Samra (2000), iaitu personaliti membolehkan
seseorang itu lebih efektif untuk bersosial kerana individu tersebut dilihat
sebagai orang yang mempunyai personaliti yang menarik, teruk atau langsung
tiada personaliti. Apabila personaliti dikaitkan dengan perkataan asalnya iaitu
persona yang bermaksud topeng, personaliti lebih mencerminkan aspek diri
sendiri yang dipilih untuk dipamerkan kepada dunia. Definisi ini juga membawa
maksud bahawa beberapa aspek penting bagi seseorang manusia itu cuba
disembunyikan atas sebab-sebab yang tertentu.
Personaliti
seseorang dilihat sebagai sesuatu yang unik dan membezakannya dengan seseorang
individu yang lain. Aspek tersebut dipanggil perbezaan individu. Kajian tentang
personaliti ini telah menghasilkan pelbagai teori personaliti yang dapat
membantu kita memerhati dan menerangkan pelbagai aspek tentang personaliti.
Teori-teori personaliti tersebut adalah dapatan daripada kajian-kajian yang
telah dijalankan terhadap pelbagai personaliti manusia. Memandangkan manusia
adalah makhluk yang sangat kompleks, maka kewujudan berbagai jenis teori
personaliti akan dapat membantu kita memahami personaliti manusia yang
berbeza-beza.
Sebagai
kesimpulannya, menurut Haliza & Joy (2009) menyatakan bahawa personaliti
merupakan gabungan daripada berbagai sifat dan konsep kendiri seseorang.
Individu yang mempunyai konsep kendiri positif akan menghasilkan personaliti
yang bersesuaian dengan keperluan persekitarannya. Begitu jugalah dengan sukan
di mana individu akan memilih sukan yang bersesuaian dengan personalitinya.
Klasifikasi
Personaliti.
Setelah
mengenali definisi personaliti, seterusnya marilah kita mengenali klasifikasi
personaliti pula. Ini kerana setiap individu yang hidup di dunia ini memiliki
personaliti yang berbeza-beza dan begitu juga dengan sukan di mana setiap atlet
yang memiliki personaliti tertentu memiliki pilihan sukan yang sesuai berdasarkan
personaliti mereka. Terdapat banyak cara untuk mengklasifikasikan personaliti
seseorang. Antaranya adalah seperti yang dikemukakan oleh Carl Gustav Jung
(1923) dalam buku Haliza & Joy (2009) yang mengemukakan tiga jenis
personaliti. Antaranya adalah ekstrovet, introvet dan ambivet.
Bagi
personaliti yang pertama iaitu ekstrovet, individu yang bersifat ekstrovet
lebih kepada dunia luaran berbanding dengan dunia dalamannya. Personaliti jenis
ini lebih kepada pergaulan, memberi perhatian dabn bercampur dengan orang lain.
Menurut Slater (1962), kebebasan merupakan satu ciri ekstrovet. Mereka peramah,
tidak mudah risau, tidak mudah malu, berminat dengan sukan, mudah menyesuaikan
diri, sangat aktif, suka bersosial, mesra, gemarkan aktiviti luar dan responsif
terhadap persekitaran. Mereka suka bergembira, suka kepada perubahan dan
bertindak mengikut impuls. Biasanya ekstrovet cepat marah tetapi tidak
menyimpan kemarahan itu lama.
Bagi
personaliti kedua pula iaitu introvet pula, perkembangan introvet lebih menumpukan
kepada aspek dalaman. Introvet bermakna mengambil berat tentang diri sendiri.
Introvet mempunyai ciri individu yang mempamerkan ciri yang pasif, pemalu,
sensitif, gemar berseorangan, cermat, reflektif dan sentiasa berfikir dahulu
sebelum melakukan sesuatu kerja, boleh dipercayai dan bersedia menanggung
risiko. Menurut Haliza & Joy (2009) juga, individu yang introvet mungkin
tidak mudah marah, tetapi jika dia marah, perasaan marah itu akan berpanjangan.
Mereka berupaya meneliti dan menganalisa perasaan sendiri dan tidak banyak
memerlukan rangsangan luar. Mereka tidak bercita-cita tinggi dan tidak meminati
kebendaan. Mereka juga suka merancang perkara-perkara yang akan datang, dan
suka kepada kehidupan yang teratur.
Bagi
personaliti ambivet pula, menurut Haliza & Joy (2009) individu ini
mempunyai ciri-ciri daripada kedua-dua jenis personaliti ekstrovet dan
introvet. Mereka merupakan gabungan kedua-dua jenis perkembangan personaliti
iaitu ekstrovet dan introvet. Kemungkinan sifat yang dipunyai oleh individu
ambivet ialah aktif, sensitif, optimistik dan gemar berseorangan.
Pengaruh Personaliti
Terhadap Sukan.
Individu yang
memiliki personaliti ekstrovet merupakan individu yang cenderung untuk memilih
jenis sukan yang menarik dan menyeronokkan, sukan berpasukan, rentak yang
pantas atau berintensiti tinggi, tahap arousal yang tinggi, memerlukan
kemahiran motor yang besar dan mudah dan mempunyai konsentrasi yang rendah
seperti sukan rugbi dan tinju.
Individu yang introvet pula
cenderung untuk memilih jenis sukan yang memerlukan penumpuan, ketepatan,
motivasi kendiri, kemahiran yang rumit atau yang melibatkan motor halus, tahap
arousal yang rendah dan pencapaian individu seperti memanah, golf, snooker,
petanque, boling padang dan boling.
Rujukan:
Haliza Hamzah & Joy N.
Samuel. (2009). Perkembangan kanak-kanak
untuk Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan Edisi Kedua. Kuala Lumpur:
Kumpulan Budiman Sdn. Bhd.
Kamus Dewan Edisi
Keempat. 2005. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Nada Abi Samra. (2000). The relationship between emotional
intelligence and academic achievement in eleventh graders. Montgomery:
Auburn University.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan