Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata memandangkan 60 peratus guru yang ada sekarang dijangka kekal dalam perkhidmatan selama 20 tahun, maka usaha meningkatkan kemahiran dan kemampuan mereka adalah amat penting.
Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran, berkata ia termasuk menyediakan peluang mereka menjalani latihan kemahiran berterusan serta laluan kerjaya yang kompetitif.
Kita mahu melihat bagaimana dalam tempoh yang tidak terlalu lama, kualiti pengajaran guru akan berbeza, katanya dalam program Soal Jawab TV3 yang disiarkan malam tadi. Program itu dikendalikan oleh Pengarah Eksekutif Berita dan Operasi Editorial Media Prima, Datuk Ahmad A Talib.
Kriteria dipertingkat
Muhyiddin berkata, mulai tahun ini, kriteria bagi mereka yang ingin menceburi profesion perguruan juga dipertingkatkan yang mana hanya 30 peratus graduan terbaik akan dipilih menyertai kursus perguruan.
Kementerian juga sedang memikirkan untuk menyediakan pelan pemisah untuk guru yang tidak sesuai mengajar.
Kita belum putuskan lagi. Kalau mereka tak sesuai mengajar, di mana nak letak mereka. Itu kita tetapkan kemudian, katanya.
Struktur PPD disusun
Beliau berkata, struktur Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) juga akan disusun semula selaras dengan anjakan digariskan dalam PPPM, yang mana lebih ramai pakar akan dikerah ke akar umbi untuk memperkasakan sekolah dan kualiti pendidikan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak melancarkan laporan awal PPPM pada 11 September lalu. Pelan tiga fasa itu akan berlangsung selama 13 tahun bermula dari 2012 hingga 2025.
Kaji pelbagai laporan
Muhyiddin, yang mempengerusikan pasukan kajian semula sistem pendidikan negara, berkata pihaknya turut mengkaji pelbagai laporan badan dunia terhadap sistem pendidikan di Malaysia termasuk Bank Dunia, Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD), Program Penilaian Murid Antarabangsa (PISA) serta kajian cendekiawan tempatan.
Lebih 12,000 orang menghadiri siri jelajah ke seluruh negara untuk menerima maklum balas pihak berkepentingan dengan 7,000 cadangan dan 156 memorandum diterima.
Daripada itu, hampir 90 peratus daripada apa yang dikemukakan diambil kira dalam menghasilkan laporan itu. Jadi, jika ada pihak yang cakap ia (cadangan/usul mereka) tidak diambil kira, ia tidak betul, katanya.
Muhyiddin juga menjelaskan ia dipanggil laporan awal kerana kerajaan akan mengadakan satu siri hari terbuka bermula 6 Oktober ini di seluruh negara bagi membolehkan orang ramai meneliti dengan lebih dekat perancangan yang dibuat dan memberi pandangan untuk mencapai kedudukan sistem pendidikan negara yang lebih berkualiti.
Katanya, laporan akhir PPPM dijangka siap menjelang Disember ini dan akan dikemukakan kepada Kabinet untuk kelulusan sebelum mula dilaksanakan pada tahun depan.
BERNAMA
Rujukan:http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Kualitigurudiperkasa/Article. Diakses pada28/9/2012
Tiada ulasan:
Catat Ulasan