Selasa, 17 Disember 2013

Pengertian,Isu-isu dan Cadangan Dalam Pengukuran dan Penilaian PJ dan Sukan

1.0         Pengertian Dan Konsep Ujian, Pengukuran Dan Penilaian
Menurut Wee Eng Hoe (2009:81), ujian ialah suatu instrumen yang digunakan untuk mendapatkan maklumat murid. Ia boleh mengambil kira beberapa bentuk seperti soalan bercetak atau lisan, bateri prestasi tahap fizikal, pemerhatian tingkah laku melalui senarai semak atau rekod anecdotal.
Menurut Lee & Mok (1989:2), pengujian merupakan satu prosedur yang sistematik untuk mengukur perubahan sebahagian daripada semua aspek tingkah laku seseorang individu terhadap pembelajarannya. Menurut Tuan Jah & Faridah (2012:4) pula, pengujian merujuk kepada satu teknik untuk mendapatkan maklumat tentang perubahan tingkah laku seseorang individu. Penjelasan dalam menerangkan erti dan konsep berkaitan pengujian ditegaskan oleh  Ng See Ngean (1991:21) iaitu pengukuran dan pengujian ialah kaedah-kaedah objektif yang sistematik dari mana maklumat yang sah tentang manusia dan tingkah lakunya akan diperoleh. Ini bermakna bahawa pengukuran dan pengujian adalah proses objektif dan maklumat sah akan diperoleh.
Menurut Ng See Ngean lagi, sehingga kini istilah pengujian dan pengukuran telah digunakan dengan erti yang lebih kurang sama. Pengukuran adalah proses yang objektif untuk memperoleh maklumat yang sah dengan menggunakan salah satu cara di antara banyak cara seperti ujian kertas pensel, ujian prestasi, ujian lisan, temuduga, soal selidik, pemerhatian, skala pemeringkatan, teknik projektif dan lain-lain. Sebaliknya perkataan pengujian, walaupun pada amnya boleh menggantikan perkataan pengukuran tetapi dalam pendidikan pengujian biasa digunakan untuk merujuk kepada ujian kertas pensel, lisan dan prestasi sahaja, serta digunakan dalam bilik darjah untuk mengukur pencapaian dan prestasi sekolah.  
Bagi konsep pengukuran pula, Wee Eng Hoe (2009) menyatakan bahawa pengukuran ialah suatu proses mengutip maklumat bernagka tentang tahap ciri-ciri tertentu yang dipunyai oleh seseorang. Menurut beliau lagi, pengukuran juga boleh ditakrifkan sebagai membina, mentadbir dan memberi nilai kepada ujian.
Menurut Lee & Mok (1989:4), penilaian dalam pendidikan ialah proses menentukan perubahan tingkah laku seorang individu dan membuat pertimbangan (judgement nilai). Menurut Tuan Jah & Faridah (2012:5) pula, penilaian merupakan satu proses atau aktiviti yang bersistematik bagi memperoleh maklumat yang berguna dalam menentukan sesuatu prestasi. Dalam Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR) semakan (2003) dan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (mulai 2011), penilaian merupakan satu proses untuk menguji, mengukur dan membuat pertimbangan tentang kebolehan atau kemahiran dan kefahaman murid berdasarkan objektif pengajaran dan pembelajaran. 

Isu-isu Dalam Pengukuran & Penilaian PJ
1.  Usaha untuk menentukan prestasi PJ dalam kalangan murid adalah perkara yang agak sukar kerana terdapat banyak ujian yang tidak mempunyai prosedur yang lengkap dan ini masih digunakan oleh guru di sekolah.
2.    Kesukaran untuk mendapatkan bateri ujian yang sesuai dan menggunakan ujian yang tidak mempunyai kesahan.  
3.    Ujian yang sudah lama dan tidak sesuai menghasilkan keputusan yang tidak tepat.
4.    Penggunaan pengukuran dan ujian yang tidak tekal.
5.    Pencapaian yang diperolehi tidak menunjukkan prestasi yang sebenar.
6.    Guru tidak mempunyai pengetahuan dan kemahiran membentuk rubrik pemarkahan untuk menilai kemahiran teknikal asas sesuatu sukan.
7.    Keputusan penilaian tidak dilaporkan atau didokumentasi. Contohnya tiada laporan sekolah-sekolah menjalankan ujian SEGAK atau bukti-bukti yang menunjukkan ujian telah dilaksanakan.
8.    Domain pembelajaran atau kemahiran yang diajar tidak dinilai secara seimbang. Iaitu tidak merangkumi ketiga-tiga domain kognitif,psikomotor dan afektif.


Cadangan Penambahbaikan Dalam Meningkatkan Kualiti Ujian Kognitif dan Psikomotor
Berdasarkan hasil kajian yang telah diperolehi oleh pengkaji, pengkaji mencadangkan beberapa cadangan untuk meningkatkan kualiti ujian kognitif dan psikomotor. Cadangan penambahbaikan adalah seperti berikut:
  1. Kaedah uji dan ulang uji perlu dilakukan secara konsisten terutama kesediaan murid-murid semasa melakukan ujian. Pengkaji perlu menegaskan kepada murid-murid agar melakukan setiap ujian dengan bersungguh-sungguh dan tidak melakukannya secara ala kadar.
  2. Pengkaji perlu melaksanakan ujian di tempat yang selesa dan bebas daripada gangguan terutama bagi murid-murid perempuan yang tidak bersungguh-sungguh apabila melakukan ujian sekiranya terdapat murid lelaki melihat mereka.
  3. Pengkaji perlu menunjukkan demonstrasi melalui tayangan video atau melalui pelakuan untuk memberikan kejelasan kepada murid-murid sebelum melakukannya.
  4.  Pengkaji perlu melakukan ujian pilot kepada setiap murid bagi kesemua ujian yang dilakukan terutama ujian psikomotor bagi memberikan kesediaan dan gambaran awal kepada mereka bagaimana melakukannya. Selain itu, melalui ujian pilot ini, pengkaji boleh melakukan pembetulan bagi pelakuan yang salah. Contohnya, cara pegangan bola, kedudukan kaki, kedudukan kontak bola terlalu tinggi dan lain-lain yang telah dikenal pasti semasa ujian pilot.
  5. Pengukuran dan penilaian sepatutnya dijalankan atau dibimbing oleh guru Pendidikan Jasmani yang sudah terlatih. Sesuatu ujian yang sah dan boleh dipercayai sepatutnya memperolehi skor ujian yang sah, tetapi jika ia dilaksanakan oleh guru yang tidak terlatih atau yang tiada pengalaman, maka skor yang diperolehi mungkin dipertikaikan atau menjadi tidak sah. Menurut Hashim (2004), bagi meningkatkan kualiti ujian dan akuantabiliti mata pelajaran Pendidikan Jasmani, adalah dicadangkan supaya semua guru atau pengkaji yang terlibat mesti mendapatkan latihan mengenai pentadbiran ujian daripada pakar-pakar tempatan.
  6. Bagi mengelakkan kekangan masa pengkaji dan murid-murid, pengkaji boleh mentadbirkan ujian pada waktu-waktu lapang murid selepas waktu persekolahan. Pengkaji juga perlu memaklumkan kepada murid-murid tujuan dan harapan pengkaji daripada penglibatan mereka dalam ujian yang bakal dijalankan.
  7.  Instrumen atau alat yang digunakan untuk membuat pengukuran perlulah konsisten dan tekal terutama semasa mengambil bacaan.
  8.  Pengkaji boleh menjalankan kajian lanjutan menggunakan ujian yang sama tetapi dilakukan secara teratur, konsisten dan tekal di sekolah yang lain. 


Rujukan:

A. E. Ashworth. 1982. Testing for Continous Assessment: A Handbook for Teacher in School and College. London: Evans, Yorkshire.
Ahmad Hashim. 2004. Pengukuran Kecergasan Motor. Tanjong Malim: Quantum Books.
Lee Shok Mee & Mok Soon Sang. 1989. Pengujian dan Penilaian dalam Pendidikan. Kuala             Lumpur: Kumpulan Budiman Sdn.Bhd.
Ng See Ngean. 1991. Pengukuran Dan Penilaian Dalam Pendidikan. Kuala Lumpur: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd.
Sukatan Pelajaran Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah Bahasa Melayu. 2003. Pusat Perkembangan Kurikulum, Kementerian Pendidikan Malaysia.
Tuan Jah Tuan Yusof & Faridah Nazir. 2012. Pentaksiran Bahasa Melayu Sekolah Rendah. Selangor: Penerbitan Multimedia Sdn.Bhd. 
Wee Eng Hoe. 2009. Pendidikan Jasmani dan Pendidikan Kesihatan (Edisi Kedua). Selangor: Karisma Publications Sdn. Bhd. 

Tiada ulasan: