Ahad, 5 Julai 2015

Kes deviasi dalam sukan atau keganasan dalam sukan

Huraian tiga kes deviasi dalam sukan atau keganasan dalam sukan
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2005), agresif didefinisikan sebagai cenderung menyerang atau berlaku secara bermusuhan terhadap pihak yang lain. Ganas atau keganasan pula didefinisikan sebagai liar dan suka menyerang, cenderung merosakkan harta benda, mencederakan orang dan sebagainya. Justeru, dapat disimpulkan bahawa keagresifan dan keganasan merupakan satu perkara yang sama dari segi definisinya iaitu perihal cenderung menyerang seseorang sehingga menyebabkan kecederaan kepada seseorang atau harta benda dan sebagainya.
            Silva (1988) menganggap keagresifan sebagai tingkah laku yang berupa percakapan atau perlakuan fizikal yang boleh mencederakan individu lain. Cox (1998) bersetuju dengan Silva, tetapi menambah dengan keadaan semasa bersukan. Pendapat ini selari dengan pendapat Alderman (1974), yang mengatakan bahawa keagresifan mempunyai kaitan dengan bergaduh atau perlakuan ganas yang bertujuan untuk mencederakan lawan. Ianya tidak melibatkan sikap dan emosi individu. Kebiasaannya keagresifan dizahirkan melalui tingkah laku seseorang apabila dirangsang untuk melakukannya.
            Menurut Baron dan Richardson (1994) pula, keagresifan merupakan apa sahaja bentuk tindakan dan perlakuan yang bermatlamat untuk menyebabkan kecederaan ke atas benda hidup yang lain dan bermotivasi untuk mengelakkan diri dari dicederakan. Definisi ini menjelaskan bahawa keagresifan adalah perlakuan yang bermatlamat (mempunyai niat), menyebabkan atau mendatangkan kecederaan dan kesakitan secara fizikal dan psikologikal, dan ditujukan kepada benda hidup yang bermotivasi untuk mengelakkan diri dari dicederakan.
            Wann (1997) menyatakan bahawa keagresifan didefinisikan sebagai satu tindakan yang bermatlamat untuk mengakibatkan kecederaan secara fizikal, verbal atau psikologikal ke atas seseorang yang bermotivasi untuk mengelakkan diri dari dicederakan atau perbuatan yang mendatangkan kerosakan kepada harta benda yang berpunca dari kemarahan. Berdasarkan definisi yang diutarakan, terdapat persamaan dengan definisi yang diutarakan oleh Baron dan Richardson. Kedua-duanya memasukkan unsur niat, perlakuan secara verbal dan psikologikal serta mangsanya bermotivasi untuk mengelakkan diri dari dicederakan.
Walau bagaimanapun, perbezaan ketara antara kedua-duanya adalah elemen kerosakan harta benda. Baron dan Richardson tidak mengambil kira kerosakan harta benda sebagai hasil dari tindakan yang agresif atau ganas. Contohnya, seorang pemain hoki yang tidak berpuas hati serta marah dengan keputusan pengadil yang memberikan gol kemenangan kepada pasukan lawan telah memecahkan pintu bilik persalinan. Menurut Baron dan Richardson, tindakan ini bukanlah satu tindakan yang agresif kerana ia tidak melibatkan benda hidup. Namun, menurut Wann perlakuan tersebut dianggap sebagai tindakan yang agresif disebabkan perlakuan tersebut didorong oleh rasa marah.
Kes keganasan dalam sukan sememangnya sudah sinonim dengan sukan kontak. Bola baling, bola jaring, bola sepak, hoki dan ragbi adalah antara sukan kontak yang sering memperlihatkan aksi agresif atau ganas semasa pertandingan, terutamanya dalam situasi menjaringkan gol. Keganasan dalam sukan merupakanm satu fenomena tingkah laku. Ianya merupakan satu fenomena tingkahlaku yang sentiasa berlaku dalam sukan.I anya juga dikenali sebagai suatu perlakuan yang bermatlamat atau mempunyai niat sehingga boleh menyebabkan dan mendatangkan kecederaan dan kesakitan secara fizikal dan psikologikal.
Kes pertama ialah berkaitan dengan ugutan terhadap pihak media. Berdasarkan akhbar Malaysiakini bertarikh 2 Februari 2014 yang bertajuk “Media diugut rakan insiden gaduh JDT, T-Team” menyatakan bahawa seorang petugas media yang merakamkan insiden pergaduhan pegawai pasukan bola sepak Johor Darul Takzim (JDT) dan T – Team telah diugut oleh seorang lelaki berjambang sekiranya beliau tidak menghentikan rakamannya. Berikut adalah pernyataan ugutan tersebut “Pergi belakang! Pergi belakang! Kalau tak nak kamera pecah pergi belakang!”.
Ugutan terhadap pihak media boleh dikategorikan sebagai keganasan dalam sukan kerana ugutan merupakan sesuatu ungkapan yang dikeluarkan secara verbal yang bertujuan untuk mencederakan seseorang. Kenyataan ini boleh disokong di mana Wann (1997) menyatakan bahawa keagresifan atau keganasan didefinisikan sebagai satu tindakan yang bermatlamat untuk mengakibatkan kecederaan secara fizikal, verbal atau psikologikal ke atas seseorang yang bermotivasi untuk mengelakkan diri dari dicederakan atau perbuatan yang mendatangkan kerosakan kepada harta benda yang berpunca dari kemarahan. Dalam kes tersebut, seorang petugas media diugut oleh seseorang individu yang sedang marah bahawa dia akan memecahkan kamera petugas media sekiranya tidak memberhentikan rakaman. Justeru, dapat disimpulkan bahawa ugutan yang dibuat terhadap petugas media tersebut boleh dikategorikan sebagai salah satu kes keganasan dalam sukan.
Kes kedua ialah berhubung dengan kes seorang pemain yang ditumbuk. Berdasarkan akhbar Sinar Harian yang bertarikh 3 Februari 2014 yang bertajuk “PBSNT kecewa insiden di Larkin” menyatakan bahawa perasaan kecewa mereka berhubung dengan seorang pemain bola sepak Negeri Terengganu (T – Team) iaitu  Evaldo Rodrigues yang ditumbuk oleh pihak pengurusan pasukan JDT semasa perlawanan pusingan kedua Piala FA pada malam 2 Februari 2014 menentang JDT di stadium Larkin, Johor. Selain pemain, jurulatih kecergasan pasukan iaitu Stefano Impagliazzo turut dikasari pegawai keselamatan. Kejadian berlaku sejurus tamat separuh masa pertama ketika mangsa menuju ke bilik persalinan. Akibat daripada kejadian tersebut, pihak pengurusan T – Team telah menarik diri daripada bermain dengan alasan faktor keselamatan pemain.
Berdasarkan kes kedua iaitu seorang pemain ditumbuk dan seorang jurulatih kecergasan dikasari sangat jelas menunjukkan kedua-dua perbuatan tersebut merupakan antara kes-kes keganasan dalam sukan. Kenyataan ini dikukuhkan lagi dengan pendapat yang diutarakan oleh Alderman (1974), yang mengatakan bahawa keagresifan mempunyai kaitan dengan bergaduh atau perlakuan ganas yang bertujuan untuk mencederakan lawan. Dalam konteks kes di atas maka adalah jelas kejadian seorang pemain yang ditumbuk telah mendatangkan kecederaan kepadanya. Melalui kenyataan akhbar ada menyatakan bahawa hidung Evaldo Rodrigues berdarah selepas ditumbuk oleh pengurusan skuad JDT. Maka, dapat disimpulkan di sini bahawa kes seorang pemain ditumbuk dan seorang jurulatih dikasari merupakan antara contoh keganasan dalam sukan khususnya dalam bola sepak. 
Kes ketiga juga merupakan kes berkaitan dengan pergaduhan semasa permainan bola sepak, namun kes tersebut berlaku di luar negara iaitu semasa perlawanan Liga Juara juara Asia 19 Oktober 2011 di Stadium Piala Dunia Suwon di selatan Seoul, Korea Selatan. Berdasarkan kenyataan akhbar Utusan Borneo pada 21 Oktober 2011 bertajuk “Perlawanan antara Suwon dan Al Sadd dicemari pergaduhan besar” memperlihatkan kedua-dua pasukan saling berbalas tumbukan. Kejadian tersebut tercetus disebabkan pemain Al Sadd memecut untuk menjaringkan gol kedua tanpa halangan, ketika tumpuan pasukan Suwon ialah merawati seorang pemain yang cedera. Pemain kemudian menunjukkan rasa tidak puas hati kepada pengadil dan ketika perlawanan hendak diteruskan, seorang penyokong Suwon menceroboh masuk ke dalam padang dan menyebabkan pergaduhan beramai-ramai tercetus. Keadaan menjadi lebih buruk apabila pemain dan kakitangan kedua-dua pasukan juga masuk campur. Maka, dapat disimpulkan di sini adalah perasaan marah menyebabkan kejadian tumbuk menumbuk berlaku antara penyokong dan kedua-dua pasukan. Cox (1998) ada menyatakan bahawa kemarahan merupakan punca kepada tindakan agresif di mana dalam konteks kes ini tindakan agresif adalah pergaduhan.

3.2       Huraian dari persepektif psiokologi sukan atau sosiologi sukan mengapa kes tersebut berlaku
Menurut Shaharudin (2001), berdasarkan kajian-kajian yang telah dijalankan secara situasi spesifik mengenalpasti faktor-faktor yang mempengaruhi keagresifan atau keganasan dalam sukan. Berdasarkan faktr-faktor yang disenaraikan oleh beliau, berikut merupakan antara faktor yang menyebabkan kes tersebut berlaku.
Faktor pertama ialah disebabkan oleh persepsi individu yang dikasari. Keagresifan akan meningkat jika bakal mangsa merasakan (berdasarkan persepsi) bahawa beliau akan dikasari oleh pihak lawan (Shaharudin, 2001). Dalam konteks ini, pemain telah mempunyai niat dan merasakan perlu bertindak lebih awal sebelum dikasari, kerana ia merasakan tindakan yang sama juga akan dilakukan oleh pihak lawan. Contohnya, perlawanan antara Suwon dan Al Sadd dicemari pergaduhan besar memperlihatkan kedua-dua pasukan saling berbalas tumbukan.
            Faktor kedua ialah keputusan pertandingan. Pasukan yang kalah atau merasakan tidak akan menang akan lebih agresif. Menurut Leith (1977), pasukan yang kalah biasanya akan lebih agresif. Ini mungkin disebabkan oleh rasa kecewa berdasarkan Teori Frustrasi- Agresif (Cullen & Cullen, 1975). Berdasarkan teori tersebut menjelaskan bahawa keagresifan merupakan kesan semula jadi frustasi dan perlakuan agresif yang terhasil dari perasaan marah dan kecewa yang berfungsi sebagai katarsis. Namun menurut Berkowitz (1993), beberapa stimulus perlu ada bagi mencetuskan sesuatu tindakan yang agresif. Contohnya,  seorang pemain telah Al Sadd memecut untuk menjaringkan gol kedua tanpa halangan, ketika tumpuan pasukan Suwon ialah merawati seorang pemain yang cedera. Pengadil perlawanan juga menerima gol tersebut menjadi 2 – 0 dan meneruskan permainan.
            Berdasarkan kenyataan Berkowitz stimulus dalam situasi di atas adalah pemain Al Sadd yang tidak mengamalkan semangat kesukanan atau fair play, keputusan pengadil perlawanan yang menerima gol tersebut, pengadil perlawanan tetap meneruskan permainan dan pasukan Suwon yang ketinggalan 2 – 0 pada masa tersebut. Justeru, berdasarkan rangsangan atau stimulus di atas telah mencetuskan tindakan yang agresif iaitu pergaduhan besar telah berlaku.
Faktor ketga pula ialah disebabkan perbezaan mata atau jaringan. Perbezaan mata diantara dua buah pasukan yang sedang bertanding boleh menyebabkan berlakunya keagresifan diantara pemain (Volkamer, 1972). Menurut Teori Frustrasi – Agresif, pasukan yang rendah matanya, masih tidak mencapai matlamat dan berada di dalam keadaan kecewa. Kekecewaan ini pula dilahirkan melalui keagresifan. Keadaan ini boleh dilihat dalam dua kes yang berkaitan dengan pergaduhan semasa perlawanan bola sepak di mana kedua – dua pasukan yang ketinggalan dari segi jaringan telah memulakan pergaduhan. Maka, dapat disimpulkan di sini bahawa faktor perbezaan jaringan sememangnya boleh mencetuskan keganasan dalam sukan.
Faktor keempat ialah pengadil perlawanan. Pengadil mesti mengawal permainan. Jika terdapat pemain yang melakukan keagresifan dan menyalahi undang-undang tetapi tidak dihukum, ianya akan menjadi peneguhan positif kepada pemain tersebut untuk terus melakukannya (Skinner, 1953). Tindakan serta amaran lisan dan kad amaran merupakan peneguhan negatif untuk mengurangkan keagresifan pemain. Namun dalam konteks kes pergaduhan yang berlaku di antara pemain Suwon dan Al Sadd disebabkan keputusan pengadil yang meneruskan permainan dan menganugerahkan jaringan semasa pasukan Suwon sedang merawati salah seorang pemainnya. Justeru, keputusan pengadil perlawanan merupakan faktor yang menjadi rangsangan kepada keganasan atau keagresifan dalam sukan.
Faktor kelima dan terakhir ialah disebabkan oleh jurulatih dan pengurus pasukan. Kajian Stephen & Bredemeier (1996) pula mendapati keagresifan yang dilakukan oleh pemain terhadap pemain lawan adalah di atas arahan jurulatih. Manakala kajian Shields, Gardner & Bostrom (1995) mendapati bahawa jurulatih wanita yang melatih pasukan wanita tidak akan mengarahkan pemainnya untuk melakukan kekasaran yang tidak sepatutnya ke atas pemain lawan. Manakala jurulatih lelaki yang melatih pasukan wanita akan mengarahkan pemainnya melakukan keagresifan di dalam situasi tertentu. Sememangnya peranan jurulatih amat besar dalam membentuk tingkah laku atlet. Walau bagaimanapun, dalam konteks tiga kes yang dinyatakan di atas jurulatih dan pengurus pasukan perlu mengawal pasukannya untuk tidak terlibat dalam kes yang agresif dengan mengamalkan permainan yang fair play.

3.3       Cadangan langkah-langkah untuk mengatasi kes tersebut
Menurut Shaharudin (2001), adalah sesuatu yang sukar untuk mengurangkan keagresifan atau keganasan dalam sukan kerana ia melibatkan ramai individu serta masing-masing mempunyai matlamat yang tersendiri untuk melibatkan diri dalam sukan. Di bawah dicadangkan beberapa langkah yang boleh diambil untuk mengurangkan keagresifan dalam sukan yang boleh digunakan.
            Pertama adalah dengan menghukum pemain yang beraksi secara agresif. Atlet atau pemain yang melakukan kesalahan yang sama berulang kali perlu dihukum dengan hukuman yang berat kerana bukan sahaja mereka mencederakan atlet yang lain (kerugian dari segi kos), malahan mereka menjadi contoh negatif kepada pemain-pemain muda. Contohnya, pemain akan digantung perlawanan dalam tempoh yang ditetapkan atau melakukan khidmat masyarakat akibat daripada perbuatan mereka seperti mana hukuman yang dijatuhkan ke terhadap Zinedine Zidane bekas pemain Perancis yang mencederakan salah seorang pemain Itali iaitu Marco Materazzi semasa perlawanan akhir Piala Dunia 2006 iaitu dengan cara menanduk dada Marco.
            Kedua adalah menghukum jurulatih dan pasukan yang menggalakkan keagresifan. Bukan sahaja pemain yang bersalah perlu dihukum, malahan jurulatih dan pihak pengurusan juga turut dipersalahkan kerana tidak dapat mengawal pemain mereka. Selain itu penggunaan taktik atau strategi yang bersifat agresif juga perlu dikenakan hukuman. Contohnya pada 2 Februari telah berlaku pergaduhan antara penyokong pasukan Johor Darul Takzim (JDT) cedera di kepala dipercayai akibat dibaling objek keras selepas berlaku provokasi antara kumpulan penyokong JDT dan Pahang di Stadium Darul Makmur dalam aksi Liga Super berkesudahan Pahang menewaskan JDT 3-2 menyebabkan FAM menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM100,000 sehingga RM200,000 kepada setiap pasukan akibat pergaduhan yang tercetus.
            Langkah ketiga adalah dengan memberikan ganjaran kepada pemain atau pasukan yang bermain dengan bersih. Pemain atau pasukan yang bermain dengan bersih khususnya dalam keadaan tertekan perlu diberikan ganjaran kerana ia memerlukan tahap kesabaran yang tinggi untuk berbuat demikian. Ini akan menjadi iktibar untuk pemain atau pasukan yang lain di masa hadapan. Dalam masa yang sama, anugerah Fair Play kepada pasukan perlu diberikan kepada pemain juga. Dengan wujudnya anugerah pemain paling “bersih”, kita menggalakkan sikap yang sama di kalangan pemain.
            Langkah keempat pula lebih berfokus kepada mengurangkan keagresifan di kalangan penonoton. Menurut Shaharudin (2001), keagresifan di kalangan pemain sebenarnya berkait rapat dengan keagresifan penonton. Ini adalah kerana penonton merupakan di antara faktor yang boleh mencetuskan keagresifan di kalangan pemain semasa perlawanan berlangsung dan kadangkala menjadi pencetus keagresifan apabila wujudnya konfrontasi di antara pemain dan penyokong. Justeru, antara langkah yang boleh diambil untuk mengatasi masalah ini adalah dengan memastikan tiada senjata atau perkara yang membahayakan diri dibawa masuk oleh penyokong ke dalam stadium. Pihak pengurusan stadium perlu memastikan agar penonton tidak membawa masuk barang-barang yang membahayakan.
            Langkah kelima adalah dengan memisahkan penyokong pasukan. Penyokong kedua-dua pasukan perlu dipisahkan agar tidak berlakunya pergaduhan atau perkara yang tidak diingini di dalam stadium. Kita perlu elakkan situasi seperti di Eropah di mana ramai penonton yang mati kerana pergaduhan di antara penyokong.

            Langkah yang terakhir yang boleh digunakan untuk mengurangkan kes tersebut adalah dengan cara media tidak menjadi batu api kepada kedua-dua pasukan. Pihak media perlu memastikan agar laporan atau publisiti yang diberikan atau dikeluarkan terhadap perlawanan tersebut tidak ada sentimen yang negatif. Ini adalah kerana kewujudan sentimen yang negatif di antara kedua-dua pasukan bukan sahaja akan membakar api dendam di antara pemain, malahan di antara kedua-dua penyokong. Ini akan menyebabkan suasana perlawanan menjadi tegang dan merbahaya seperti yang berlaku dalam pertandingan separuh akhir Piala Eropah di antara kelab Leeds United dari Englang dan kelab Galatasary dari Turki.  

Tiada ulasan: