Selasa, 17 Disember 2013

Contoh Laporan Reflektif PJM 3114 Pendidikan Jasmani Suaian

LAPORAN REFLEKTIF
Syukur kepada Tuhan kerana dengan limpah kurniaNya maka dapatlah tugasan ini disudahkan tepat pada masanya. Ucapan penghargaan didedikasikan khusus kepada pensyarah pembimbing En. Chula Bina yang banyak memberi panduan kepada saya sepanjang menyediakan tugasan ini.
            Sebelum pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Jasmani (PJ) Suaian ini dijalankan saya menghadapai masalah dalam mencari dan memilih tajuk yang sesuai untuk menyediakan Rancangan Pengajaran Harian (RPH) bagi murid-murid berkeperluan khas di mana saya telah diberikan satu format yang telah ditetapkan iaitu penyediaan RPH KSSR Bersepadu Tahun 1. RPH Bersepadu bermaksud saya perlu menyediakan rancangan di mana terdapat dua atau lebih kecacatan yang perlu saya sediakan dan rancangkan dalam pengajaran saya kelak.
            Justeru, bagi mengatasi masalah ini saya telah berusaha dengan usaha saya sendiri mencari dan mengakses maklumat yang berkaitan melalui laman sesawang Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) yang telah disediakan khusus untuk murid-murid berkeperluan khas. Hasilnya, saya berjaya mendapatkan bahan-bahan atau dokumen-dokumen yang diperlukan bagi penyediaan RPH Bersepadu ini. Melalui dokumen standard dan modul pengajaran yang telah saya perolehi saya memilih dan menentukan tajuk yang bersesuaian dan menyediakan Rancangan Semester berdasarkan dokumen tersebut. Kesimpulannya, dokumen-dokumen dan modul ini telah membantu saya dalam merancang sekaligus berjaya menyediakan RPH yang lengkap berpandukan dokumen dan modul yang diperolehi itu.
            Setelah menyediakan RPH yang lengkap saya berbincang bersama guru yang mengajar murid berkeperluan khas berhubung strategi, kaedah dan teknik yang sesuai untuk mengajar murid-murid ini. Hasilnya, melalui temu bual dan soal jawab bersama guru tersebut saya mendapat satu gambaran awal bagaimana hendak melaksanakan dan mengorganisasikan pengajaran saya kelak. Malah, melalui pemerhatian yang telah saya lakukan mendapati kaedah arahan dhand anhan amat sesuai diaplikasikan dalam pengajaran ini. Ini bertepatan dengan gaya pengajaran menurut Mosston & Ashworth (1994) dalam buku Wee (2009) yang mengemukakan 11 gaya pengajaran yang berbeza. Menurut tokoh-tokoh ini juga terdapat beberapa keputusan yang perlu dibuat sebelum, semasa dan selepas sesuatu pengajaran dijalankan. Antaranya adalah sebelum pengajaran beberapa keputusan yang perlu dibuat sebelum pengajaran adalah dari segi persediaan dan pemilihan topik, objektif, organisasi dan penyampaian. Kemudian, semasa pengajaran keputusan mengenai pencapaian dan perlaksanaan perlu ditetapkan oleh seorang guru dan akhir sekali selepas pengajaran di mana penilaian dan maklumbalas daripada pelajar perlulah diambil kira oleh seorang guru iaitu pelaksana pengajaran dan pembelajaran itu. Justeru, melalui panduan yang diberikan oleh Mosston dan Ashworth ini saya jadikan sebagai panduan dalam menyediakan sebuah RPH yang berkesan terutama murid-murid berkeperluan khas ini.
            Antara kekuatan yang dapat saya kenal pasti hasil daripada pemerhatian yang dijalankan oleh pasangan praktikum saya mendapati semasa pengajaran dan pembelajaran PJ Suaian dijalankan mendapati aktiviti yang dijalankan sesuai untuk murid-murid di mana murid-murid aktif melakukan aktiviti yang disediakan. Kawalan kelas juga baik dan aktiviti-aktiviti yang dijalankan menyeronokkan mereka. Ini dapat dicapai oleh saya semasa pengajaran dan pembelajaran disebabkan oleh guru mengamalkan konsep perencah (scaffolding) di mana menurut Haliza dan Joy (2009) konsep scaffolding bermaksud mengubahsuai tahap sokongan yang diberikan semasa proses pengajaran dan pembelajaran berlaku, individu yang lebih berkemahiran yakni guru akan mengubahsuai tahap bantuan atau bimbingan yang diberikan mengikut keupayaan murid itu sendiri. Ini dapat dilihat semasa latih tubi dijalankan di mana saya membimbing murid-murid yang tidak menguasai kemahiran yang diajar secara individu di mana saya memberikan pembetulan satu per satu berhubung cara yang betul untuk melambung dan menyambut bola secara bersemuka dengan mereka. Selain daripada itu, saya menggunakan rakan sebaya mereka sendiri iaitu murid-murid yang mahir untuk membimbing murid-murid yang tidak menguasai. Kaedah dan teknik ini adalah bertepatan dengan konsep perencah yang telah saya nyatakan di atas.
            Selain daripada itu, saya mampu mengawal kelas dengan baik adalah disebabkan arahan dan organisasi semasa melakukan latih tubi. Arahan yang saya berikan adalah jelas, ringkas dan padat serta tidak berjela-jela atau memberikan penerangan yang panjang. Ini bertepatan dengan gaya pengajaran yang dikemukan oleh Mosston dan Ashworth (1994) di mana dalam gaya ini, guru yang mengawal “Apa” yang akan dipelajari, “Bagaimana” ia dilakukan, serta “Mula” dan “Akhir” sesuatu aktiviti. Proses-proses menggunakan gaya ini adalah seperti saya memberikan penerangan ringkas dan membuat demonstrasi tentang kemahiran yang akan dipelajari murid dan murid-murid akan berlatih. Kemudian, saya memberikan komen am tentang prestasi atau pelakuan mereka. Saya juga memberikan penerangan lanjut dan membuat demonstrasi lanjut berkaitan kemahiran yang hendak dipelajari sebelum murid-murid melakukan latihan semula. Selain itu, saya memberikan tunjuk ajar kepada murid-murid yang memerlukan bantuan secara individu. Oleh sebab itulah hasilnya saya dapat mengawal kelas dengan baik.
            Di sebalik kekuatan yang telah saya nyatakan pada penerangan di atas, tidak dapat dinafikan juga masih terdapat beberapa kelemahan yang dikenal pasti semasa pengajaran dan pembelajaran PJ Suaian Bersepadu ini. Berdasarkan pemerhatian yang dilakukan oleh pasangan praktikum saya mendapati bahawa masa aktiviti yang dijalankan terlalu singkat. Selain itu, berlaku gangguan daripada murid-murid yang hyperactive yang sentiasa berlari dan melakukan aktiviti lain apabila guru tidak mengawasi mereka. Di samping itu, setiap daripada murid-murid mempunyai masalah-masalah yang tersendiri. Antaranya adalah terdapat murid-murid yang tidak mengendahkan arahan yang diberikan guru terutama murid-murid autisme, tidak memahami apa yang dilakukan oleh guru yakni bagi murid-murid lembam, terdapat juga murid-murid yang menangis disebabkan gangguan daripada murid hyperactive. Justeru, setiap masalah yang dihadapi ini menjadi cabaran kepada saya dalam mengajar PJ kepada mereka terutama dalam mencapai objektif pengajaran dan pembelajaran yang mahu dicapai oleh guru dan murid.
            Oleh yang demikian, bagi mengatasi masalah ini antara cadangan penambahbaikan yang akan dilakukan saya pada masa hadapan atau pada pengajaran seterusnya saya akan melakukan aktiviti yang mudah dan mengikut rentak atau kemampuan mereka. Saya juga akan menggunakan gaya pengajaran yang berbentuk latihan sepertimana yang dikemukakan oleh Mosston dan Ashworth di mana gaya pengajaran ini sesuai dijalankan bila masa pengajaran terhad dan sesuai pada peringkat permulaan pembelajaran. Selain itu, murid-murid mempunyai lebih masa untuk berlatih berbanding dengan gaya arahan. Mengikut gaya ini, semasa latihan diberikan saya akan memerhatikan murid-murid dan memberi maklum balas dan memberi tunjuk ajar kepada murid yang memerlukan. Dalam proses pembelajaran secara umum, maklum balas daripada guru adalah penting. Maklum balas  boleh dikategorikan kepada empat jenis iaitu maklum balas prestasi (performance feedback), maklum balas motivasi (motivation feedback), maklum balas attribut (attributional feedback) dan maklum balas strategi (strategy feedback) (Pintrich & Schunk, 1996). Justeru, dalam pengajaran dan pembelajaran PJ Suaian Bersepadu yang saya jalankan ini, saya akan memberikan maklum balas berbentuk prestasi dan attribut kepada murid-murid kelas bersepadu ini. Ini kerana maklum balas prestasi merujuk kepada maklum balas guru terhadap tahap ketepatan tugasan yang dilakukan oleh pelajar. Saya akan memberikan maklum balas jenis ini apabila murid-murid dapat melakukan kemahiran yang diperkenalkan kepada mereka dengan baik. Melalui maklum balas ini murid-murid akan mendapat rangsangan dan akan berusaha untuk memperbaiki dan meningkatkan lagi prestasi mereka. Bagi maklum balas attribut pula adalah sesuai dengan murid-murid bekerpeluan khas kerana maklum balas ini diberikan disebabkan kekurangan yang mereka hadapi. Guru akan memberikan motivasi kepada murid-murid dengan menyatakan bahawa kekurangan yang dihadapi tidak menjadi halangan untuk mereka mencapai kejayaan. Justeru, diharapkan agar mereka berusaha untuk memperbaiki dan melakukan aktiviti dengan bersungguh-sungguh.
            Selain daripada itu, untuk mengatasi masalah gangguan semasa pengajaran dan pembelajaran berlaku antara cadangan penambahbaikan yang akan saya laksanakan adalah dengan memberikan masa rehat (Time-out). Murid-murid yang menganggu akan diberikan masa rehat agar menjadi hukuman kepada mereka untuk tidak mengulangi kesalahan pada masa hadapan. Menurut Wee (2009), peraturan masa rehat digunakan untuk menghentikan murid bertingkah laku buruk semasa melakukan aktiviti pendidikan jasmani dan tempoh masa yang lazim dipraktikkan ialah 5 sehingga 10 minit. Walau bagaimanapun, semasa murid diberikan masa rehat, murid tidak dibenarkan berada jauh daripada guru dan mesti berada berhampiran dengan guru.
            Di samping itu juga, saya akan memberikan pengukuhan kepada murid-murid yang dapat melakukan aktiviti dengan baik. Menurut Wee (2009), terdapat empat kategori pengukuhan iaitu pengukuhan sosial, pengukuhan masa, pengukuhan hak istimewa dan pengukuhan visual. Dalam konteks pengajaran dan pembelajaran PJ saya akan memberikan pengukuhan sosial seperti anggukan kepala, pujian, dan senyuman terhadap tingkah laku murid dan diharapkan melalui pengukuhan ini akan menjadi rangsangan kepada mereka untuk mengulangi perbuatan atau tingkah laku yang diingini iaitu melakukannya dengan betul. Rangsangan yang akan diberikan oleh saya adalah berlandaskan Prinsip Teori Behaviorisme - Ivan Pavlov. Menurut Ragbir (2010), beliau menyatakan bahawa terdapat tiga prinsip asas di dalam eksperimen Ivan Pavlov. Prinsip tersebut ialah pertama setiap rangsangan akan menimbulkan gerak balas, kedua pembelajaran berlaku akibat kaitan antara rangsangan dan gerak balas dan ketiga iaitu pembelajaran yang berlaku akibat perkaitan di antara dua rangsangan dinamakan pelaziman. Justeru, melalui rangsangan yang diberikan ini diharapkan murid-murid menunjukkan gerak balas yang positif terhadap pengajaran dan pembelajaran pada masa akan hadapan. Sebagai contoh saya akan memberikan pujiaan dan hadiah kepada murid-murid yang mendengar dan mengikuti arahan yang diberikan serta tidak menimbulkan gangguan semasa pengajaran dan pembelajaran berlangsung. Hasil yang diharapkan adalah berlaku perubahan tingkah laku terhadap diri mereka untuk melakukan aktiviti dengan baik dan menguasai kemahiran yang diperkenalkan kepada mereka.

            Kesimpulannya, adalah menjadi harapan saya agar setiap kekuatan, kelemahan dan cadangan penambahbaikan yang dinyatakan mampu membantu meningkatkan kompetensi saya sebagai seorang bakal guru Pendidikan Jasmani dengan lebih baik dan mampu mengajar dan mendidik murid-murid berkeperluan khas ini agar tidak ketinggalan atau tersisih daripada menguasai kemahiran-kemahiran yang patut mereka kuasai untuk menjadikan mereka sebagai insan yang mampu berdikari.  

Tiada ulasan: