KERTAS CADANGAN KAJIAN TINDAKAN PENDIDIKAN JASMANI
KEBERKESANAN PROGRAM LATIHAN KOORDINASI DALAM MENINGKATKAN
KOORDINASI MATA DAN TANGAN MURID-MURID TAHUN 3 ORKID
Oleh
DESMOND DANIEL AK COPTA
INSTITUT PENDIDIKAN GURU KAMPUS RAJANG, BINTANGOR, SARAWAK.
1.0 Pendahuluan
1.1 Pengenalan
Selaras dengan inovasi
dalam pendidikan semasa, pendidikan di Malaysia adalah untuk melahirkan
generasi yang seimbang dan menyeluruh dari segi intelek,
rohani, emosi dan jasmani. Maka, secara
langsungnya Pendidikan Jasmani dapat membantu kanak-kanak membangun sepenuhnya
dan merealisasikan potensi serta bakat yang ada pada kanak – kanak tersebut.
Pettifor (1999) berpendapat bahawa Pendidikan Jasmani menyediakan kanak-kanak
untuk mengamalkan hidup aktif dan sihat dengan menyediakan skop pengalaman – pengalaman
pembelajaran yang rapi dan berturutan. Beliau menegaskan bahawa pengalaman
tersebut seharusnya dapat meningkatkan pembangunan penguasaan kemahiran motor,
kecergasan dan pengetahuan berasaskan kesihatan, keyakinan dalam menjadi aktif
dan dapat mengapresiasikan faedah aktiviti fizikal. Dalam erti kata lain,
Pendidikan Jasmani membekalkan ruang untuk membentuk kanak – kanak yang mantap
secara keseluruhan yang mengambil kira pembangunan aspek-aspek afektif, kognitif
dan psikomotor.
Konsep
menyeluruh ini adalah selari dengan pendapat Dauer (1995). Beliau berpendapat
bahawa Pendidikan Jasmani adalah sebahagian daripada program pendidikan yang
menyeluruh, yang memberi sumbangan kepada perkembangan dan pembangunan
keseluruhan kanak – kanak melalui pengalaman – pengalaman pergerakan.
Dalam
sesuatu aktiviti Pendidikan Jasmani, faktor koordinasi amat dititikberatkan.
Koordinasi ialah keupayaan otot melakukan dan menyelaras pergerakan dengan
kemas dan lancar. Koordinasi boleh dicapai dengan melakukan latihan yang
bersistematik. Menurut Mohd Taip H. (2006), koordinasi juga merupakan keberkesanan
dan keseragaman yang cekap dalam pergerakan tubuh badan seseorang. Ianya
melibatkan penggunaan kesemua anggota badan serta kebolehan menggunakan panca
indera dan hubungannya dengan minda akan menghasilkan pergerakan yang sempurna.
Jika seseorang individu mempunyai tahap koordinasi yang tinggi, mereka boleh
melakukan pelbagai jenis aktiviti seperti menangkap bola, menahan bola hoki dan
menyangga bola tampar.
Dalam
subjek Pendidikan Jasmani dan Kesihatan, telah digubal tiga tunjang penting
yang mendokong pengajaran subjek tersebut iaitu tunjang kecergasan, tunjang
kemahiran dan tunjang kesukanan. Ketiga – tiga tunjang ini saling melengkapi
antara satu sama lain dalam melahirkan insan di Malaysia yang bukan sahaja
sihat tubuh badan malah mempunyai kemahiran yang tinggi dalam setiap bidang
yang diceburi (PPK, 2001). Dalam konteks kajian ini, koordinasi dikategorikan
pada tunjang kecergasan.
Koordinasi
ialah keupayaan otot melakukan dan menyelaraskan pergerakan dengan kemas dan
lancar. Koordinasi boleh dicapai dengan melakukan latihan yang sistematik. Jika
seseorang individu mempunyai koordinasi yang tinggi, mereka boleh menangkap
bola, menahan bola hoki, menyangga bola tampar atau melakukan rejaman tepat
pada sasaran. Koordinasi ini berkait rapat dengan perkembangan sistem motor
seseorang individu tersebut.
Maier
(1980) dalam Arasoo (1989), kemahiran motor ialah kebolehan mengeluarkan suatu
corak unsur perlakuan yang berhubung dengan persekitaran tertentu. Kemahiran
motor dibahagikan kepada dua bahagian iaitu motor kasar dan motor halus
(Magill, 2001). Kemahiran motor kasar merupakan kemahiran yang melibatkan
kumpulan otot-otot kasar atau besar yang melibatkan banyak anggota. Kemahiran
motor halus merupakan kemahiran yang melibatkan kumpulan otot-otot kecil. Walau
bagaimanapun, terdapat kesukaran dalam mengaplikasikan sesetengah kemahiran
bagi menentukan penggunaan kumpulan otot kasar atau otot halus kanak-kanak.
Menurut Huttenlocher (1990, 1994) kanak-kanak merupakan individu yang mempunyai
perkembangan kemahiran motor yang cepat, baik kemahiran motor kasar mahupun
motor halus. Perkembangan kemahiran motor kasar dan kemahiran motor halus
seseorang banyak bergantung kepada perkembangan otak, keseimbangan badan dan
peningkatan koordinasi mata dan tangan kanak-kanak.
Selain
itu, koordinasi mata dan tangan melibatkan keupayaan menggunakan mata dan tangan
secara serentak untuk melakukan sesuatu perkara. Contohnya, dalam sukan permainan
bola jaring, seseorang individu memerlukan koordinasi mata dan tangan untuk
melakukan pelbagai jenis tindakan seperti membaling dan menyambut bola. Begitu
juga dalam permainan bola tampar dan bola keranjang. Pemain perlu mempunyai
koordinasi mata dan tangan yang tinggi untuk membuat rejaman, menyangga bola
dan mengelecek bola keranjang ( Mohd Taip H. : 2006).
Program
latihan yang berkesan untuk permainan dan sukan perlu dihasilkan melalui
penyelidikan dan merupakan cabaran kepada jurulatih dan guru (Rink, French &
Graham,1996; Rink, 2002). Jurulatih harus menyediakan program latihan spesifik secara
beransur maju mengikut tahap kematangan murid dan harus melengkapi murid dengan
pengetahuan sukan, memotivasikan murid serta berusaha meningkatkan prestasi
dalam sukan dan permainan berdasarkan teori dan metodologi latihan (Connel,
1993). Program latihan harus disusun dengan panduan teori dan metodologi latihan
serta teori pembelajaran motor. Program latihan yang mempunyai unsur seperti situasi
permainan dapat menarik minat murid untuk menyertai secara aktif dalam Pendidikan
Jasmani (Dodds et al., 2001).
Menurut
Wall dan Murray (1994) juga, kanak – kanak yang berumur enam hingga sembilan
tahun seharusnya sudah mempunyai koordinasi mata dan tangan, dan mata dan kaki
yang baik serta dapat melakukan aktiviti membaling dan menangkap dengan betul.
Justeru, bertitik tolak kepada pendapat itu maka pengkaji akan menjalankan program
latihan khusus untuk membantu murid – murid tahun 3 meningkatkan koordinasi
mata dan tangan mereka melalui program latihan yang dirancang.
1.2 Refleksi Pengajaran
dan Pembelajaran
Menurut Kemmis (1985),
“refleksi bukan sahaja satu proses yang berfokus kepada ‘apa yang sedang
berlaku dalam otak kita.’ Ia adalah satu proses yang bersifat positif dan aktif
dan bercirikan langkah – langkah seperti berikut: Mengulas, menganalisis dan
menilai pengalaman yang dilalui, dan merujuk kepada konsep teoritikal atau
pembelajaran sebagai panduan merangka satu pelan tindakan bagi pengalaman masa
depan.” Maka, dapat disimpulakan bahawa refleksi merupakan ulasan, analisis dan
penilaian pengalaman yang telah dilalui oleh pengkaji dalam usaha menyediakan
pelan tindakan bagi menambahbaik pengalaman yang bakal dilalui kelak.
Melalui
pengalaman pengkaji menjalani praktikum fasa satu di salah sebuah sekolah di
Daerah Sarikei, pengkaji mendapati bahawa murid tahap satu yakni murid yang
berumur sembilan tahun menghadapi masalah koordinasi mata dan tangan semasa
menjalankan aktiviti Pendidikan Jasmani. Masalah yang sama juga pengkaji dapati
berlaku semasa menjalani praktikum bagi fasa dua di sekolah yang berlainan
iaitu salah sebuah sekolah di daerah Sibu.
Justeru,
pengkaji amat tertarik dan berminat untuk mengkaji masalah koordinasi mata dan
tangan murid tahap satu. Hal ini berikutan murid - murid diperhatikan lemah
dalam melakukan dan menguasai aktiviti atau standard pembelajaran yang
melibatkan koordinasi mata dan tangan semasa sesi pengajaran dan pembelajaran
Pendidikan Jasmani. Contohnya, semasa melakukan aktiviti menerima dan
menghantar bola menggunakan tangan secara berpasangan pada peringkat
perkembangan pembelajaran. Akibatnya, masalah ini menyebabkan murid – murid
tidak menguasai standard pembelajaran yang hendak dicapai di akhir sesi pengajaran
dan pembelajaran.
Oleh
demikian, pengkaji telah berusaha untuk merancang satu kaedah latihan iaitu
program latihan koordinasi bagi membantu mengatasi atau mengurangkan masalah
koordinasi mata dan tangan murid-murid tahap satu ini. Hasil kajian ini adalah
bertujuan untuk membantu meningkatkan koordinasi mata dan tangan murid tahap
satu.
1.3 Refleksi
Nilai Pendidikan
Melalui refleksi
pengajaran dan pembelajaran, dapat dirumuskan bahawa majoriti murid tahap satu
yakni yang berumur sembilan tahun boleh dikategorikan sebagai lemah semasa
melakukan kemahiran menghantar dan menerima bola di mana kemahiran ini
merupakan antara kemahiran yang dikategorikan sebagai koordinasi mata dan
tangan dengan betul dan tepat. Guru Pendidikan Jasmani perlu bertindak dengan
bijak untuk memastikan perkembangan murid mereka berkembang sepenuhnya selaras
dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan khususnya dalam kurikulum Pendidikan
Jasmani.
Sebagai
guru Pendidikan Jasmani, pengajaran dan pembelajaran yang dijalankan dalam
menangani sesuatu penyampaian maklumat kepada murid-murid dapat dicapai melalui
pelbagai cara. Antaranya melalui kaedah merujuk. Menurut Bonnie Pettifor (1999),
kaedah merujuk kepada satu ikhtiar keseluruhan yang dikehendaki dalam satu set
prosedur yang tersusun berdasarkan kepada sesuatu pendekatan yang dipilih.
Kaedah merupakan satu tatacara atau pelaksanaan organisasi aktiviti pengajaran
dan pembelajaran dapat dilaksanakan seterusnya menjadikan ianya satu siri
tindakan guru yang sistematik untuk mencapai objektif pembelajaran khusus dalam
jangka pendek.
Justeru,
sebelum melaksanakan kajian tindakan ini pengkaji telah merujuk bahan – bahan
maujud yang berkaitan dengan tajuk yang dipilih sepertimana yang telah
dijelaskan oleh Pettifor. Pemilihan program latihan koordinasi yang bersesuaian
adalah dirasakan amat sesuai dalam kajian ini kerana ianya bermatlamat dalam
meningkatkan koordinasi mata dan tangan murid-murid tahun 3 Orkid.
Pendidikan
Jasmani juga merupakan salah satu bidang ilmu yang menggabungjalinkan aspek aspek
pendidikan melalui aktiviti fizikal. Bidang ini melibatkan proses pendidikan
yang menitikberatkan perkembangan dan penguasaan pergerakan fizikal yang
bermakna berdasarkan kemampuan murid. Proses ini juga berkait secara langsung
dengan tindak balas mental, emosi dan sosial murid. Terdapat tiga domain dalam
pembentukan objektif pembelajaran Pendidikan Jasmani iaitu domain kognitif,
psikomotor dan afektif.
Ketiga-tiga
domain ini adalah saling berkaitan di antara satu sama lain. Contohnya ketika
belajar kemahiran melontar dan menyambut bola (proses psikomotor), murid bukan
sahaja menumpukan perhatian terhadap koordinasi mata dengan tangan tetapi
belajar menganalisis (proses kognitif) kedudukan badan atau anatomi badan
supaya bola dapat dilontar dan disambut dengan tepat. Sehubungan itu, murid
perlu bekerjasama (nilai afektif) dengan rakan yang melontar bola tepat kepadanya
supaya murid itu dapat menyambut bola dengan sempurna.
Melalui
sesi pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Jasmani juga, pengkaji sentiasa menerapkan
nilai-nilai murni seperti bekerjasama, toleransi, hormat - menghormati dan perasaan
seronok semasa melakukan aktiviti dalam Pendidikan Jasmani. Contohnya, semasa
aktiviti permainan kecil pada peringkat kemuncak pembelajaran, nilai toleransi
dan bekerjasama telah dapat dipupuk dalam diri setiap murid. Selain berasa seronok
melakukan aktiviti, keyakinan diri murid turut meningkat setelah berjaya
melakukan sesuatu aktiviti. Guru juga sentiasa memberikan galakkan dan
penghargaan kepada murid sebagai menghargai usaha yang ditunjukkan.
2.0 Fokus Kajian
/ Isu Keprihatinan
2.1 Tinjauan
Masalah
Melalui pemerhatian
pengkaji, kebanyakan murid tahun 3 Orkid Sekolah Kebangsaan Sibu Jaya
menghadapi masalah dalam menguasai standard pembelajaran yang ditetapkan iaitu
kemahiran menerima dan menghantar bola. Justeru, kajian ini digunakan untuk
melihat dan menilai sejauh mana program latihan koordinasi yang bakal dirancang
mampu membantu meningkatkan koordinasi mata dan tangan murid-murid tahun 3
Orkid.
Antara
masalah – masalah yang dihadapi oleh murid – murid tahun 3 Orkid adalah seperti
berikut:
1. Lemah dalam melakukan aktiviti yang melibatkan koordinasi
mata dan tangan.
2. Lemah semasa melakukan aktiviti yang melibatkan koordinasi
mata dan tangan pada jarak yang jauh.
3. Menghadapi masalah dalam menentukan kedudukan badan atau
postur badan yang sesuai semasa melakukan aktiviti yang melibatkan koordinasi
mata dan tangan.
Berdasarkan masalah yang dinyatakan, pengkaji dapat membuat
keputusan bahawa masalah ini timbul disebabkan oleh:
1. Koordinasi mata dan tangan mereka masih lemah.
2. Kurang latih tubi dalam kemahiran yang melibatkan
koordinasi mata dan tangan.
3. Kurang pengetahuan dalam menentukan kedudukan badan semasa
melakukan aktiviti semasa melakukan aktiviti yang melibatkan koordinasi mata
dan tangan.
2.2 Analisis
Tinjauan Masalah
Menurut pakar dalam
bidang Pendidikan Jasmani seperti Gallaheu (1996), pergerakan terdiri daripada
tiga aspek iaitu pergerakan lokomotor, bukan lokomotor dan manipulasi alatan.
Kemahiran manipulasi alatan hendaklah dibina sejak dari peringkat umur pra
sekolah atau sekolah rendah. Kemahiran ini memerlukan penggunaan anggota badan
untuk mengawal, mengawasi atau menangani sesuatu objek dan merupakan asas
kepada kemahiran sukan yang perlu dibina daripada peringkat kanak-kanak lagi di
mana pada peringkat ini mereka mudah menerima ajaran dan hasilnya dapat
meningkatkan koordinasi anggota badan contohnya tangan, mata, kaki dan lain –
lain.
Menurut Mohd Taip H. (2006), koordinasi ialah keupayaan
otot melakukan dan menyelaras pergerakan dengan kemas dan lancar. Koordinasi
boleh dicapai dengan melakukan latihan yang bersistematik yakni melalui
perancangan program latihan koordinasi. Jika seseorang individu mempunyai tahap
koordinasi yang tinggi, mereka boleh menangkap bola, menahan bola hoki,
menyangga bola tampar dan melakukan rejaman tepat pada sasarannya.
Sonjoto (1988) mentakrifkan koordinasi adalah
mengkoordinasi, supaya terarah. Mata adalah pancaindera untuk melihat iaitu
indera penglihatan. Tangan pula adalah anggota badan dari pergelangan tangan
sampai ke hujung jari. Melalui takrifan yang dinyatakan oleh beliau maka dapat
dirumuskan bahawa koordinasi mata dan tangan adalah keupayaan menggunakan mata
dan tangan secara serentak untuk melakukan sesuatu perkara atau aktiviti dengan
terpuji.
Murid yang mempunyai masalah dalam koordinasi mata dan
tangan akan mempunyai masalah khususnya semasa permainan dalam sesuatu sukan
seperti bola tampar, badminton, bola jaring, dan bola keranjang. Ini kerana
dalam sesuatu permainan, hampir kesemua pergerakan memerlukan kemahiran
koordinasi mata dan tangan yang baik. Koordinasi mata dan tangan merupakan asas
pergerakan motor yang perlu dikuasai oleh murid – murid. Asas pergerakan motor
ini akan menyediakan asas yang luas kepada kebolehan pergerakan di mana banyak
pergerakan yang sukar dapat dibina (Ee Ah Meng, 2002). Murid yang tidak dapat
menguasai pergerakan asas dengan sempurna akan menghadapi masalah dalam
melakukan sesuatu pergerakan khususnya yang melibatkan koordinasi mata dan
tangan.
Justeru,
bagi mengatasi masalah koordinasi mata dan tangan yang dihadapi oleh murid ini,
satu program latihan koordinasi telah dirancang dan dijalankan di sekolah ini.
Program latihan koordinasi yang dirancang ini mestilah boleh ditadbir di sekolah.
Kebolehtadbiran kajian yang baik membolehkan perlaksanaan program latihan
dijalankan dengan lancar. Peralatan yang digunakan juga adalah selamat dan merupakan
peralatan yang telah sedia ada di sekolah ini. Program latihan koordinasi yang
dirancang ini diharap dapat menjadi panduan kepada guru-guru di sekolah ini suatu
hari nanti bagi meningkatkan koordinasi mata dan tangan murid tahun 3 di Sekolah
Kebangsaan Sibu Jaya.
3.0 Objektif
Kajian / Soalan Kajian
Objektif kajian
merupakan tujuan yang ingin dicapai oleh penyelidik kajian berdasarkan masalah
yang telah dikenal pasti. Objektif utama kajian ialah mengakibatkan perubahan
tingkah laku guru dan murid. Objektif itu mestilah boleh diukur semasa dan
selepas kajian. Ia terdiri daripada Objektif Umum dan Objektif Khusus (Bahagian
Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan, KPM, 2008).
Justeru,
kajian ini dijalankan adalah untuk meningkatkan koordinasi mata dan tangan
murid Tahun 3 Orkid Sekolah Kebangsaan Sibu Jaya melalui program latihan
koordinasi. Antara objektif kajian ini ialah:
a.
Objektif Umum
I.
Meningkatkan koordinasi
mata dan tangan murid tahun 3 Orkid Sekolah Kebangsaan Sibu Jaya, Sibu.
b.
Objektif Khusus
I.
Mengenalpasti tahap
koordinasi mata dan tangan murid tahun 3 Orkid Sekolah Kebangsaan Sibu Jaya,
Sibu sebelum menjalankan program latihan koordinasi.
II.
Mengenalpasti sama ada
program latihan koordinasi dapat meningkatkan tahap koordinasi mata dan tangan
murid tahun 3 Orkid Sekolah Kebangsaan Sibu Jaya, Sibu.
III.
Mengenalpasti sama ada
faktor jantina mempengaruhi tahap koordinasi mata dan tangan murid tahun 3
Orkid.
3.1 Soalan Kajian
Mohamad Najib A.G. (1999),
menyatakan soalan kajian penting kerana membantu penyelidik mengenalpasti
pemboleh ubah yang dikaji dan seterusnya menentukan bagaimana mengumpul dan
menganalisis data. Oleh yang demikian, soalan hendaklah jelas dari segi
pemboleh ubah yang dikaji. Lazimnya, masalah yang hendak dikaji walaupun jelas,
masih lagi umum dan perlu diperincikan kepada beberapa soalan kajian. Soalan
kajian ialah suatu pertanyaan tentatif berkenaaan hubungan antara dua atau
lebih fenomena atau variabel. Masalah kajian juga dinyatakan dalam soalan
kajian. Soalan kajian akan dibentuk berdasarkan pada permasalahan kajian yang
menjelaskan mengenai pembolehubah yang dikaji.
Soalan
dan objektif kajian adalah saling berhubung rapat antara satu sama lain. Soalan
kajian yang dibina adalah berasaskan kepada objektif kajian, yang mana jawapan
kepada soalan ini akan membantu pengkaji untuk mencapai objektif dan tujuan
kajian. Soalan kajian adalah berperanan penting sebagai menentukan prosedur
perancangan kajian. Selain itu, ianya juga dapat memberi haluan dan kesepaduan
dalam kajian, menentukan batasan kajian, menentukan data yang diperlukan,
mengawal pennyelidik daripada hilang fokus serta menyediakan rangka untuk
menulis laporan. Kajian ini dijalankan bertujuan untuk mencari jawapan kepada
beberapa persoalan yang berkaitan dengan masalah koordinasi mata dan tangan
murid tahun 3 Orkid Sekolah Kebangsaan Sibu Jaya, Sibu. Soalan kajian adalah
seperti berikut:
I.
Apakah tahap koordinasi
mata dan tangan murid sebelum rawatan?
II.
Adakah terdapat
perbezaan yang signifikan antara ujian pra dan ujian pasca setelah menjalankan
program latihan koordinasi?
III.
Adakah faktor jantina
mempengaruhi tahap koordinasi mata dan tangan murid sebelum dan selepas
rawatan?
4.0 Kumpulan
Sasaran
Kumpulan sasaran
merupakan kumpulan guru atau murid yang terlibat di dalam kajian yang akan
dijalankan. Kumpulan guru atau murid tersebut mestilah terdiri daripada
kumpulan yang terlibat di dalam isu permasalahan kajian dan situasi sosial
penyelidik (Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan, KPM, 2008).
Justeru, kajian ini melibatkan 30 orang murid (N=30)
tahun 3 Orkid Sekolah Kebangsaan Sibu Jaya, Sibu yang terdiri daripada 19 orang
murid lelaki dan 11 orang murid perempuan. Mereka ini lemah dari segi prestasi
akedemik di mana kelas ini merupakan kelas tercorot jika dibandingkan dengan
kelas lain. Mereka ini juga lemah semasa melakukan aktiviti yang melibatkan koordinasi
mata dan tangan iaitu menghantar dan menerima yang telah dijalankan oleh
pengkaji pada bulan Februari yang lalu. Selain itu, terdapat seorang murid
lelaki yang bermasalah pembelajaran. Rasional pengkaji memilih kelas ini
sebagai sampel kajian adalah kerana pengkaji terlibat secara langsung dalam
proses pengajaran Pendidikan Jasmani bagi kelas ini dan telah mengajar standard
pembelajaran 1.7.2 iaitu menerima dan menghantar bola menggunakan tangan dan
kaki.
5.0 Tindakan Yang
Dicadangkan
5.1 Perancangan
Tindakan
Dalam kajian ini,
pengkaji menggunakan model kajian tindakan yang dibangunkan oleh Kemmis dan Mc
Taggart (1988). Dalam model tersebut menyarankan empat langkah kajian tindakan
berdasarkan gelungan (cycle) seperti
berikut:
I.
Mereflek (Reflect);
II.
Merancang (Plan);
III.
Bertindak (Action); dan
IV.
Memerhati (Observe).
Langkah – langkah
tersebut boleh dirumuskan seperti yang ditunjukkan seperti pada Rajah 5.1 di
bawah.
Berdasarkan langkah yang disarankan oleh Kemmis dan Mc
Taggart dalam model kajian tindakan mereka, maka pengkaji menggunakan model
tersebut untuk menyusun langkah – langkah tindakan yang akan diambil dalam
membantu meningkatkan koordinasi mata dan tangan murid tahun 3 Orkid Sekolah
Kebangsaan Sibu Jaya, Sibu. Berikut merupakan kerangka konseptual kajian
mengikut model kajian tindakan Kemmis dan Mc Taggart (1988).
Berpandukan kerangka konseptual kajian yang disediakan
oleh pengkaji mengikut model kajian tindakan Kemmis dan Mc Taggart, pengkaji
akan mengikut kerangka yang dibina dalam membantu meningkatkan koordinasi mata
dan tangan murid tahun 3 Orkid Sekolah Kebangsaan Sibu Jaya, Sibu. Langkah
pertama ialah dengan mereflek iaitu membuat pemerhatian semasa proses
pengajaran dan pembelajaran dijalankan. Kemudian, pengkaji membuat refleksi ke
atas masalah yang dihadapi oleh murid tahun 3 Orkid. Didapati kebanyakkan murid
lemah dalam melakukan aktiviti yang melibatkan koordinasi mata dan tangan.
Langkah kedua ialah merancang di mana pengkaji merancang untuk menyediakan
program latihan koordinasi untuk membantu sampel. Semasa merancang juga,
pengkaji akan menjalankan ujian pra untuk mengenalpasti tahap koordinasi mata
dan tangan sampel sebelum rawatan. Langkah ketiga ialah bertindak iaitu
melaksanakan program latihan selama 4 minggu. Langkah keempat ialah membuat
pemerhatian. Dalam langkah keempat, pengkaji akan menjalankan ujian pasca untuk
membuat perbandingan sama ada terdapat perbezaan yang signifikan antara ujian
pra dan ujian pasca setelah sampel menjalani program latihan koordinasi.
5.2 Perancangan
Cara Mengumpul Data
Pengkaji akan
menggunakan ujian sebagai kaedah untuk mengumpul data. Ujian merupakan kaedah
yang digunakan untuk mengutip data bagi menilai dan mengesan kefahaman murid
terhadap sesuatu pelajaran yang telah dipelajari (Bahagian Perancangan dan
Penyelidikan Dasar Pendidikan, KPM, 2008). Bagi kajian ini, ujian yang
digunakan akan digunakan untuk mengutip data bagi menilai dan mengesan sama ada
program latihan koordinasi berkesan dalam meningkatkan koordinasi mata dan
tangan murid tahun 3 Orkid SK Sibu Jaya, Sibu.
Pengkaji juga akan menjalankan ujian pra dan ujian pasca
menggunakan instrumen Hand Wall Toss Test
untuk menilai tahap koordinasi mata dan tangan murid sebelum dan selepas
rawatan. Instrumen Wall Toss Test ini akan diubahsuai mengikut
kesesuaian sampel kajian. Ujian rintis juga akan dijalankan untuk menilai
sejauhmana kebolehpercayaan instrumen di mana kaedah uji dan ulang uji akan
digunakan. Ujian akan ditadbirkan ke atas sampel bagi mendapatkan set data yang
pertama, kemudian diulang uji untuk mendapatkan set data yang kedua. Perisian
“Statistical Package For Social Science (SPSS) 18.0” akan digunakan untuk
mengira pekali korelasi Pearson untuk mendapatkan nilai kebolehpercayaan
instrumen.
Berikut merupakan prosedur pelaksanaan ujian pra dan pasca
menggunakan instrumen Hand Wall Toss
bersama – sama dengan senarai peralatan yang digunakan dan cara pemarkahan.
Jenis Ujian : Alternate Hand Wall Toss Test/Eye Hand
Co-ordination
- Tujuan: Untuk mengukur koordinasi tangan-mata
- Peralatan
yang diperlukan: Bola tenis,
dinding licin dan kukuh, pita penanda, jam randik (pilihan)
- Prosedur:
I.
Tanda A diletakkan pada
jarak tertentu dari dinding (contohnya 1 meter, 3 kaki).
II.
Orang yang berdiri di
belakang barisan dan menghadap dinding. Bola itu dibaling dari satu tangan
secara under arm ke arah dinding, dan
cuba untuk ditangkap dengan tangan yang bertentangan.
III.
Bola itu kemudiannya
dibalingsemula ke dinding dan ditangkap menggunakan tangan sebelah.
IV.
Ujian ini dilakukan
secara berulang-ulang dan bilangan tangkapan yang berjaya dibuat dalam masa 30 saat direkodkan (du Toit, Kruger,
Fowler, Govender & Clark, 2010).
- Pemarkahan: Jadual di bawah menyenaraikan penilaian
umum untuk ujian “Alternate Hand
Wall Toss Test” berdasarkan skor bilangan tangkapan yang berjaya
dalam tempoh 30 saat.
Gred
|
Skor
(Dalam
30 Saat)
|
A
|
> 26
|
B
|
19 - 25
|
C
|
12 - 18
|
D
|
5 - 11
|
E
|
< 4
|
5.3 Perancangan
Cara Menganalisis Data
Data yang dipungut
dalam sesuatu projek kajian tindakan perlu dianalisis dan penafsiran dibuat ke
atasnya. Dengan menganalisis data, seorang guru dapat melaporkan hasil kajian
berdasarkan bukti – bukti yang diperoleh daripada responden (Bahagian Perancangan
dan Penyelidikan Dasar Pendidikan, KPM, 2008).
Menurut
Mohd. Najib A.G. (1999), analisis data merujuk kepada bagaimana segala data
dikutip, diberi skor dan dinilai menggunakan sesuatu kaedah. Oleh itu, terlebih
dahulu kesemua data yang dikumpul akan dimasukkan ke dalam fail data komputer dan
disemak sebelum analisis data dibuat. Sesebuah kajian yang telah lengkap akan dianalisis
untuk mendapatkan data mentah. Data mentah ini akan dianalisis untuk mendapatkan
jawapan pada persoalan kajian.
Pengkaji akan menggunakan perisian SPSS untuk membuat
analisis data selepas kesemua data dikumpul. Ini kerana analisis melalui
komputer digunakan kerana ia lebih mudah dan menjimatkan masa untuk
menghasilkan output yang diperlukan. Pengkaji akan menggunakan perisian SPSS
untuk mendapatkan statistik perihalan (descriptive
statistics), pengiraan pekali korelasi Pearson bagi mendapatkan
kebolehpercayaan instrumen ujian, ujian – T bagi mengenalpasti sama ada
terdapat perbezaan yang signifikan antara ujian pra dan pasca dan untuk menilai
adakah faktor jantina mempengaruhi tahap koordinasi tangan dan mata sampel.
5.4 Perancangan
Pelaksanaan Tindakan
5.4.1 Jadual
Pelaksanaan
Jadual 5.4.1: Carta Grantt jadual
perancangan pelaksanaan tindakan bagi kajian meningkatkan koordinasi mata dan
tangan murid tahun 3 Orkid SK Sibu Jaya, Sibu
Bil.
|
Rancangan Tindakan
|
Rancangan Pelaksanaan Tindakan
(Minggu)
|
Catatan
|
|
M1
|
M2
|
M3
|
M4
|
|
1.
2.
3.
4.
5.
|
Membuat
pemerhatian semasa proses pengajaran dan pembelajaran
Menjalankan
ujian pra menggunakan instrumen ujian Hand
Wall Toss
Menjalankan
program latihan koordinasi
Menjalankan
ujian pasca menggunakan instrumen ujian Hand
Wall Toss
Membuat
perbandingan hasil ujian pra dan pasca
|
/
/
|
|
|
|
|
|
/
/
|
/
/
/
|
|
|
|
|
|
|
|
/
|
|
5.4.2 Kos Kajian
Jadual 5.4.2: Kos kajian bagi kajian
keberkesanan program latihan koordinasi dalam meningkatkan koordinasi mata dan
tangan murid tahun 3 Orkid SK Sibu Jaya, Sibu
Bil.
|
Item
|
Kuantiti
|
Harga Seunit (RM)
|
Jumlah (RM)
|
1.
|
Kertas putih A4
|
1 rim
|
8.50
|
8.50
|
2.
|
Pen Hitam
|
1 batang
|
1.00
|
1.00
|
3.
|
Ink mesin pencetak (Hitam)
|
1
|
20.00
|
20.00
|
4.
|
Pita pelekat
|
2
|
1.50
|
3.00
|
|
|
|
|
|
Jumlah Keseluruhan
|
Kira Sendiri
|
6.0 Tinjauan
Literatur
Creswell (2005) menjelaskan
bahawa tinjauan literatur membabitkan kesimpulan bertulis tentang artikel dalam
jurnal, buku dan dokumen lain yang menjelaskan keadaan maklumat lepas dan
semasa, menyusun literatur dalam topik tertentu dan mendokumenkan keperluan
bagi kajian yang dicadangkan. Melalui penjelasan yang diberikan dapat
disimpulkan bahawa tinjauan literatur dapat membantu pengkaji membuat
kesimpulan dan memperkayakan pengalaman pengkaji untuk menghasilkan kajian yang
berkualiti.
Sharifah
(2011) dalam kajiannya “Meningkatkan koordinasi mata dan tangan murid tahun 3
melalui program latihan koordinasi” telah menggunakan teknik latih tubi dalam
program latihan koordinasi yang telah dimodifikasikan sebagai langkah
intervensi. Program intervensi tersebut telah dijalankan selama 4 minggu (3
sesi seminggu) dan instrumen Hand Wall
Toss Test digunakan sebagai cara pengumpulan data. Hasil dapatan
menunjukkan terdapat perbezaan yang signifikan antara ujian pra dan ujian pasca
setelah program latihan koordinasi dijalankan ke atas sampel.
Nursyazwani dan Ikmal Hisyam (2013) dalam kajian mereka
iaitu, “Meningkatkan penguasaan koordinasi mata – tangan bagi murid tahun 4
dengan menggunakan kaedah latihan praktis random” juga telah menggunakan teknik
latih tubi untuk melihat keberkesanan penggunaan kaedah latihan praktis random
dalam meningkatkan tahap koordinasi ketika melontar dan menyambut bola tenis.
Program intervensi dijalankan selama 3 minggu di mana setiap sesi mengambil
masa 30 minit. Data dikumpulkan menggunakan keputusan ujian pra dan pasca
melalui ujian The Alternate Hand Wall
Toss sebagai instrumen pengumpulan data. Senarai semak fasa lakuan ujian
juga dinilai dalam pemerhatian berstruktur. Keputusan kajian menunjukkan min
peningkatan skor. Dapatan ini jelas menunjukkan bahawa latih tubi dalam program
latihan koordinasi dapat meningkatkan koordinasi mata dan tangan sampel kajian
pengkaji.
Nurdiyanto (2005) dalam kajiannya Hubungan Kekuatan
Genggaman, Koordinasi Mata Tangan Dan Kelincahan Dengan Kemampuan Forehand
Drive Tenis juga menggunakan teknik latih tubi untuk meningkatkan koordinasi
mata dan tangan murid. Ujian koordinasi mata tangan menggunakan latih tubi
ujian lempar tangkap bola tenis telah digunakan untuk mendapatkan data dalam
kajian ini. Hasil analisis data menunjukkan terdapat peningkatan tahap
koordinasi mata dan tangan selepas menjalankan latih tubi tersebut. Dapat
disimpulkan di sini bahawa melalui koordinasi mata tangan yang baik, seorang
pemain tenis dapat menjangka arah pergerakan bola tenis pihak lawan dengan
cepat.
Siti Sahara dan Mek Yam (2011) dalam kajian mereka yang
bertajuk “Meningkatkan tahap kecekapan koordinasi mata dan tangan kanak – kanak
dengan menggunakan prinsip latihan” turut menggunakan teknik latih tubi
berdasarkan prinsip latihan tambah beban untuk meningkatkan koordinasi mata dan
tangan murid – murid tahun 3. Sebanyak tiga fasa yang dirancang semasa
intervensi dalam membantu meningkatkan koordinasi mata dan tangan subjek.
Setiap fasa melibatkan tempoh selama dua minggu. Fasa pertama melibatkan
aktiviti membaling dan menangkap menggunakan bola jaring, fasa kedua melibatkan
aktiviti membaling dan menangkap menggunakan bola baling saiz 2 dan fasa
terakhir melibatkan aktiviti membaling dan menangkap menggunakan bola tenis.
Hasil dapatan juga menunjukkan peningkatan pada skor min antara ujian pra dan
pasca. Dapat disimpulkan di sini bahawa, latih tubi menggunakan prinsip tambah
beban mampu meningkatkan kecekapan koordinasi mata dan tangan kanak – kanak.
Berdasarkan perbincangan di atas, maka pengkaji dapat
merumuskan bahawa latih tubi dalam sesuatu program latihan memberi peluang
kepada murid – murid dalam meningkatkan keupayaan motor mereka. Ini kerana
latih tubi yang kerap dan konsisten membolehkan murid – murid memperkayakan
kemahiran mereka sekaligus dapat meningkatkan koordinasi mata dan tangan
mereka. Pernyataan tersebut selari dengan teori Behaviorisme yang menyatakan
bahawa sesuatu pelakuan yang dilakukan secara kerap dan diteguhkan akan menjadi
lazim. Justeru, kajian ini membolehkan pengkaji merancang satu program latihan
koordinasi yang sesuai mengikut prinsip latihan bagi meningkatkan koordinasi
mata dan tangan murid tahun 3 Orkid Sekolah Kebangsaan Sibu Jaya, Sibu.
7.0 Rujukan
Arasso V.T (1989). Pembelajaran
Kemahiran Motor dalam Pendidikan Jasmani dan Sukan. Kuala Lumpur:Fajar
Bakti.
Bahagian Perancangan dan
Penyelidikan Dasar Pendidikan, Kementerian Pelajaran Malaysia. (2008). Buku Manual Kajian Tindakan Edisi Ketiga. Putrajaya:
Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan, Kementerian Pelajaran
Malaysia.
Bonnie Pettifor, M. A. (1999).
Physical education methods for classroom
teacher. Champaign: Human Kinetics. Boston, MA: Allyn & Bacon Boston,
MA: Allyn & Bacon.
Dauer. (1995). Dalam Wee Eng
Hoe. (1995). Pengajaran Pendidikan Jasmani Dan
Pendidikan Kesihatan.
Shah Alam: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd.
Dodds et al. (2001). Dalam
Sanmuga Nathan A/L K. Jeganathan. (2007). Kesan Program Latihan Menggunakan
Model Taktikal Dengan Stail Pengajaran Berbeza Terhadap Murid Pelbagai Tahap
Kemahiran Permainan Hoki. Malaysia.
Ee Ah Meng. (2002). Pedagogi III: Semester II (2nd Ed). Selangor:
Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd.
Gallahue, D.L. (1996). Physical education for children; Movement
Education; Motor Learning; Study and Teaching. Brown & Benchmark
(Madison).
Kemmis (1985). Dalam Choong
Lean Keow. (2011). Asas Penyelidikan
Tindakan Untuk Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan Dengan Kepujian.
Subang Jaya, Selangor: Kumpulan Budiman Sdn. Bhd.
Magill, R.A (2001). Motor
Learning and Control: concepts and applications (7th edition). Boston:
McGraw Hill.
Mohamad Najib Abdul Ghafar.
(1999). Penyelidikan Pendidikan. Johor:
Universiti Teknologi Malaysia
Mohd. Taip Harun. (2006). Kecergasan
Fizikal. Selangor Darul Ehsan: Fakulti Pendidikan, Sastera Dan Sains
Sosial.
Nurdiyanto. (2005). Hubungan
Kekuatan Genggaman, Koordinasi Mata Tangan Dan Kelincahan Dengan Kemampuan
Ferehand Drive Tenis Lapangan. Universitas Negeri Samarang.
Nursyazwani Binti Abdullah dan
Ikmal Hisyam Bin Hj Daroji. (2013). Meningkatkan
penguasaan koordinasi mata-tangan bagi murid tahun 4 dengan menggunakan kaedah
latihan Praktis Random. Kuala Lumpur: Institut Pendidikan Guru Kampus Ilmu
Khas.
Pettifor .(1999). Dalam Wee
Eng Hoe. (2002). Pendidikan Jasmani Dan Pendidikan
Kesihatan.
Selangor Darul Ehsan: Karisma Publications Sdn. Bhd.
Pusat Perkembangan Kurikulum,
(2001), Falsafah Pendidikan Kebangsaan, Matlamat dan Misi. Pusat Perkembangan
Kurikulum, Kementerian Pendidikan Malaysia.
Sanjoto. (1988). Peningkatan
dan Pembinaan Kondisi Fisik Dalam Olahraga. Dahara Frize, Semarang.