Huraian tiga kes deviasi dalam sukan
atau keganasan dalam sukan
Menurut
Kamus Dewan Edisi Keempat (2005), agresif didefinisikan sebagai cenderung
menyerang atau berlaku secara bermusuhan terhadap pihak yang lain. Ganas atau
keganasan pula didefinisikan sebagai liar dan suka menyerang, cenderung
merosakkan harta benda, mencederakan orang dan sebagainya. Justeru, dapat
disimpulkan bahawa keagresifan dan keganasan merupakan satu perkara yang sama
dari segi definisinya iaitu perihal cenderung menyerang seseorang sehingga
menyebabkan kecederaan kepada seseorang atau harta benda dan sebagainya.
Silva (1988) menganggap keagresifan
sebagai tingkah laku yang berupa percakapan atau perlakuan fizikal yang boleh
mencederakan individu lain. Cox (1998) bersetuju dengan Silva, tetapi menambah
dengan keadaan semasa bersukan. Pendapat ini selari dengan pendapat Alderman
(1974), yang mengatakan bahawa keagresifan mempunyai kaitan dengan bergaduh
atau perlakuan ganas yang bertujuan untuk mencederakan lawan. Ianya tidak
melibatkan sikap dan emosi individu. Kebiasaannya keagresifan dizahirkan
melalui tingkah laku seseorang apabila dirangsang untuk melakukannya.
Menurut Baron dan Richardson (1994)
pula, keagresifan merupakan apa sahaja bentuk tindakan dan perlakuan yang
bermatlamat untuk menyebabkan kecederaan ke atas benda hidup yang lain dan
bermotivasi untuk mengelakkan diri dari dicederakan. Definisi ini menjelaskan
bahawa keagresifan adalah perlakuan yang bermatlamat (mempunyai niat),
menyebabkan atau mendatangkan kecederaan dan kesakitan secara fizikal dan
psikologikal, dan ditujukan kepada benda hidup yang bermotivasi untuk
mengelakkan diri dari dicederakan.
Wann (1997) menyatakan bahawa
keagresifan didefinisikan sebagai satu tindakan yang bermatlamat untuk
mengakibatkan kecederaan secara fizikal, verbal atau psikologikal ke atas
seseorang yang bermotivasi untuk mengelakkan diri dari dicederakan atau
perbuatan yang mendatangkan kerosakan kepada harta benda yang berpunca dari kemarahan.
Berdasarkan definisi yang diutarakan, terdapat persamaan dengan definisi yang
diutarakan oleh Baron dan Richardson. Kedua-duanya memasukkan unsur niat,
perlakuan secara verbal dan psikologikal serta mangsanya bermotivasi untuk
mengelakkan diri dari dicederakan.
Walau
bagaimanapun, perbezaan ketara antara kedua-duanya adalah elemen kerosakan
harta benda. Baron dan Richardson tidak mengambil kira kerosakan harta benda
sebagai hasil dari tindakan yang agresif atau ganas. Contohnya, seorang pemain
hoki yang tidak berpuas hati serta marah dengan keputusan pengadil yang
memberikan gol kemenangan kepada pasukan lawan telah memecahkan pintu bilik
persalinan. Menurut Baron dan Richardson, tindakan ini bukanlah satu tindakan
yang agresif kerana ia tidak melibatkan benda hidup. Namun, menurut Wann
perlakuan tersebut dianggap sebagai tindakan yang agresif disebabkan perlakuan
tersebut didorong oleh rasa marah.
Kes
keganasan dalam sukan sememangnya sudah sinonim dengan sukan kontak. Bola
baling, bola jaring, bola sepak, hoki dan ragbi adalah antara sukan kontak yang
sering memperlihatkan aksi agresif atau ganas semasa pertandingan, terutamanya
dalam situasi menjaringkan gol. Keganasan dalam sukan merupakanm
satu fenomena tingkah laku. Ianya merupakan satu fenomena tingkahlaku yang sentiasa berlaku
dalam sukan.I anya juga dikenali sebagai suatu perlakuan yang bermatlamat atau
mempunyai niat sehingga boleh menyebabkan
dan mendatangkan kecederaan dan kesakitan secara fizikal dan psikologikal.
Kes pertama ialah berkaitan dengan ugutan terhadap pihak media.
Berdasarkan akhbar Malaysiakini bertarikh 2 Februari 2014 yang bertajuk “Media
diugut rakan insiden gaduh JDT, T-Team” menyatakan bahawa seorang petugas media
yang merakamkan insiden pergaduhan pegawai pasukan bola sepak Johor Darul
Takzim (JDT) dan T – Team telah diugut oleh seorang lelaki berjambang sekiranya
beliau tidak menghentikan rakamannya. Berikut adalah pernyataan ugutan tersebut
“Pergi belakang! Pergi belakang! Kalau tak nak kamera pecah pergi belakang!”.
Ugutan
terhadap pihak media boleh dikategorikan sebagai keganasan dalam sukan kerana
ugutan merupakan sesuatu ungkapan yang dikeluarkan secara verbal yang bertujuan
untuk mencederakan seseorang. Kenyataan ini boleh disokong di mana Wann (1997)
menyatakan bahawa keagresifan atau keganasan didefinisikan sebagai satu
tindakan yang bermatlamat untuk mengakibatkan kecederaan secara fizikal, verbal
atau psikologikal ke atas seseorang yang bermotivasi untuk mengelakkan diri
dari dicederakan atau perbuatan yang mendatangkan kerosakan kepada harta benda
yang berpunca dari kemarahan. Dalam kes tersebut, seorang petugas media diugut
oleh seseorang individu yang sedang marah bahawa dia akan memecahkan kamera
petugas media sekiranya tidak memberhentikan rakaman. Justeru, dapat
disimpulkan bahawa ugutan yang dibuat terhadap petugas media tersebut boleh
dikategorikan sebagai salah satu kes keganasan dalam sukan.
Kes kedua ialah berhubung dengan kes seorang pemain yang ditumbuk.
Berdasarkan akhbar Sinar Harian yang bertarikh 3 Februari 2014 yang bertajuk
“PBSNT kecewa insiden di Larkin” menyatakan bahawa perasaan kecewa mereka
berhubung dengan seorang pemain bola sepak Negeri Terengganu (T – Team) iaitu Evaldo Rodrigues yang ditumbuk oleh pihak
pengurusan pasukan JDT semasa perlawanan pusingan kedua Piala FA pada malam 2
Februari 2014 menentang JDT di stadium Larkin, Johor. Selain pemain, jurulatih
kecergasan pasukan iaitu Stefano Impagliazzo turut dikasari pegawai
keselamatan. Kejadian berlaku sejurus tamat separuh masa pertama ketika mangsa
menuju ke bilik persalinan. Akibat daripada kejadian tersebut, pihak pengurusan
T – Team telah menarik diri daripada bermain dengan alasan faktor keselamatan
pemain.
Berdasarkan
kes kedua iaitu seorang pemain ditumbuk dan seorang jurulatih kecergasan
dikasari sangat jelas menunjukkan kedua-dua perbuatan tersebut merupakan antara
kes-kes keganasan dalam sukan. Kenyataan ini dikukuhkan lagi dengan pendapat
yang diutarakan oleh Alderman (1974), yang mengatakan bahawa keagresifan
mempunyai kaitan dengan bergaduh atau perlakuan ganas yang bertujuan untuk
mencederakan lawan. Dalam konteks kes di atas maka adalah jelas kejadian
seorang pemain yang ditumbuk telah mendatangkan kecederaan kepadanya. Melalui
kenyataan akhbar ada menyatakan bahawa hidung Evaldo Rodrigues berdarah selepas
ditumbuk oleh pengurusan skuad JDT. Maka, dapat disimpulkan di sini bahawa kes
seorang pemain ditumbuk dan seorang jurulatih dikasari merupakan antara contoh
keganasan dalam sukan khususnya dalam bola sepak.
Kes ketiga juga merupakan kes berkaitan dengan
pergaduhan semasa permainan bola sepak, namun kes tersebut berlaku di luar
negara iaitu semasa perlawanan Liga Juara juara Asia 19 Oktober 2011 di Stadium
Piala Dunia Suwon di selatan Seoul, Korea Selatan. Berdasarkan kenyataan akhbar
Utusan Borneo pada 21 Oktober 2011 bertajuk “Perlawanan antara Suwon dan Al
Sadd dicemari pergaduhan besar” memperlihatkan kedua-dua pasukan saling
berbalas tumbukan. Kejadian tersebut tercetus disebabkan pemain Al Sadd memecut
untuk menjaringkan gol kedua tanpa halangan, ketika tumpuan pasukan Suwon ialah
merawati seorang pemain yang cedera. Pemain kemudian menunjukkan rasa tidak
puas hati kepada pengadil dan ketika perlawanan hendak diteruskan, seorang
penyokong Suwon menceroboh masuk ke dalam padang dan menyebabkan pergaduhan
beramai-ramai tercetus. Keadaan menjadi lebih buruk apabila pemain dan
kakitangan kedua-dua pasukan juga masuk campur. Maka, dapat disimpulkan di sini
adalah perasaan marah menyebabkan kejadian tumbuk menumbuk berlaku antara
penyokong dan kedua-dua pasukan. Cox (1998) ada menyatakan bahawa kemarahan
merupakan punca kepada tindakan agresif di mana dalam konteks kes ini tindakan
agresif adalah pergaduhan.
3.2 Huraian
dari persepektif psiokologi sukan atau sosiologi sukan mengapa kes tersebut
berlaku
Menurut
Shaharudin (2001), berdasarkan kajian-kajian yang telah dijalankan secara
situasi spesifik mengenalpasti faktor-faktor yang mempengaruhi keagresifan atau
keganasan dalam sukan. Berdasarkan faktr-faktor yang disenaraikan oleh beliau,
berikut merupakan antara faktor yang menyebabkan kes tersebut berlaku.
Faktor
pertama ialah disebabkan oleh persepsi individu yang dikasari. Keagresifan
akan meningkat jika bakal mangsa merasakan (berdasarkan persepsi) bahawa beliau
akan dikasari oleh pihak lawan (Shaharudin, 2001). Dalam konteks ini, pemain
telah mempunyai niat dan merasakan perlu bertindak lebih awal sebelum dikasari,
kerana ia merasakan tindakan yang sama juga akan dilakukan oleh pihak lawan.
Contohnya, perlawanan antara Suwon dan Al Sadd dicemari pergaduhan besar
memperlihatkan kedua-dua pasukan saling berbalas tumbukan.
Faktor
kedua ialah keputusan pertandingan. Pasukan yang kalah atau merasakan
tidak akan menang akan lebih agresif. Menurut Leith (1977), pasukan yang kalah
biasanya akan lebih agresif. Ini mungkin disebabkan oleh rasa kecewa
berdasarkan Teori Frustrasi- Agresif (Cullen & Cullen, 1975). Berdasarkan
teori tersebut menjelaskan bahawa keagresifan merupakan kesan semula jadi
frustasi dan perlakuan agresif yang terhasil dari perasaan marah dan kecewa
yang berfungsi sebagai katarsis. Namun menurut Berkowitz (1993), beberapa
stimulus perlu ada bagi mencetuskan sesuatu tindakan yang agresif. Contohnya, seorang pemain telah Al Sadd memecut untuk
menjaringkan gol kedua tanpa halangan, ketika tumpuan pasukan Suwon ialah
merawati seorang pemain yang cedera. Pengadil perlawanan juga menerima gol
tersebut menjadi 2 – 0 dan meneruskan permainan.
Berdasarkan kenyataan Berkowitz
stimulus dalam situasi di atas adalah pemain Al Sadd yang tidak mengamalkan
semangat kesukanan atau fair play,
keputusan pengadil perlawanan yang menerima gol tersebut, pengadil perlawanan
tetap meneruskan permainan dan pasukan Suwon yang ketinggalan 2 – 0 pada masa
tersebut. Justeru, berdasarkan rangsangan atau stimulus di atas telah
mencetuskan tindakan yang agresif iaitu pergaduhan besar telah berlaku.
Faktor
ketga pula ialah disebabkan perbezaan mata atau jaringan. Perbezaan mata
diantara dua buah pasukan yang sedang bertanding boleh menyebabkan berlakunya
keagresifan diantara pemain (Volkamer, 1972). Menurut Teori Frustrasi – Agresif,
pasukan yang rendah matanya, masih tidak mencapai matlamat dan berada di dalam
keadaan kecewa. Kekecewaan ini pula dilahirkan melalui keagresifan. Keadaan ini
boleh dilihat dalam dua kes yang berkaitan dengan pergaduhan semasa perlawanan
bola sepak di mana kedua – dua pasukan yang ketinggalan dari segi jaringan
telah memulakan pergaduhan. Maka, dapat disimpulkan di sini bahawa faktor
perbezaan jaringan sememangnya boleh mencetuskan keganasan dalam sukan.
Faktor
keempat ialah pengadil perlawanan. Pengadil mesti mengawal permainan.
Jika terdapat pemain yang melakukan keagresifan dan menyalahi undang-undang
tetapi tidak dihukum, ianya akan menjadi peneguhan positif kepada pemain
tersebut untuk terus melakukannya (Skinner, 1953). Tindakan serta amaran lisan
dan kad amaran merupakan peneguhan negatif untuk mengurangkan keagresifan
pemain. Namun dalam konteks kes pergaduhan yang berlaku di antara pemain Suwon
dan Al Sadd disebabkan keputusan pengadil yang meneruskan permainan dan
menganugerahkan jaringan semasa pasukan Suwon sedang merawati salah seorang
pemainnya. Justeru, keputusan pengadil perlawanan merupakan faktor yang menjadi
rangsangan kepada keganasan atau keagresifan dalam sukan.
Faktor
kelima dan terakhir ialah disebabkan oleh jurulatih dan pengurus pasukan. Kajian
Stephen & Bredemeier (1996) pula mendapati keagresifan yang dilakukan oleh
pemain terhadap pemain lawan adalah di atas arahan jurulatih. Manakala kajian
Shields, Gardner & Bostrom (1995) mendapati bahawa jurulatih wanita yang
melatih pasukan wanita tidak akan mengarahkan pemainnya untuk melakukan
kekasaran yang tidak sepatutnya ke atas pemain lawan. Manakala jurulatih lelaki
yang melatih pasukan wanita akan mengarahkan pemainnya melakukan keagresifan di
dalam situasi tertentu. Sememangnya peranan jurulatih amat besar dalam membentuk
tingkah laku atlet. Walau bagaimanapun, dalam konteks tiga kes yang dinyatakan
di atas jurulatih dan pengurus pasukan perlu mengawal pasukannya untuk tidak
terlibat dalam kes yang agresif dengan mengamalkan permainan yang fair play.
3.3 Cadangan
langkah-langkah untuk mengatasi kes tersebut
Menurut
Shaharudin (2001), adalah sesuatu yang sukar untuk mengurangkan keagresifan
atau keganasan dalam sukan kerana ia melibatkan ramai individu serta
masing-masing mempunyai matlamat yang tersendiri untuk melibatkan diri dalam
sukan. Di bawah dicadangkan beberapa langkah yang boleh diambil untuk
mengurangkan keagresifan dalam sukan yang boleh digunakan.
Pertama adalah dengan menghukum
pemain yang beraksi secara agresif. Atlet atau pemain yang melakukan kesalahan
yang sama berulang kali perlu dihukum dengan hukuman yang berat kerana bukan
sahaja mereka mencederakan atlet yang lain (kerugian dari segi kos), malahan
mereka menjadi contoh negatif kepada pemain-pemain muda. Contohnya, pemain akan
digantung perlawanan dalam tempoh yang ditetapkan atau melakukan khidmat
masyarakat akibat daripada perbuatan mereka seperti mana hukuman yang
dijatuhkan ke terhadap Zinedine Zidane bekas pemain Perancis yang mencederakan
salah seorang pemain Itali iaitu Marco Materazzi semasa perlawanan akhir Piala
Dunia 2006 iaitu dengan cara menanduk dada Marco.
Kedua adalah menghukum jurulatih dan
pasukan yang menggalakkan keagresifan. Bukan sahaja pemain yang bersalah perlu
dihukum, malahan jurulatih dan pihak pengurusan juga turut dipersalahkan kerana
tidak dapat mengawal pemain mereka. Selain itu penggunaan taktik atau strategi
yang bersifat agresif juga perlu dikenakan hukuman. Contohnya pada 2 Februari
telah berlaku pergaduhan antara penyokong pasukan Johor Darul Takzim (JDT) cedera
di kepala dipercayai akibat dibaling objek keras selepas berlaku provokasi
antara kumpulan penyokong JDT dan Pahang di Stadium Darul Makmur dalam aksi
Liga Super berkesudahan Pahang menewaskan JDT 3-2 menyebabkan FAM menjatuhkan
hukuman denda sebanyak RM100,000 sehingga RM200,000 kepada setiap pasukan
akibat pergaduhan yang tercetus.
Langkah ketiga adalah dengan
memberikan ganjaran kepada pemain atau pasukan yang bermain dengan bersih.
Pemain atau pasukan yang bermain dengan bersih khususnya dalam keadaan tertekan
perlu diberikan ganjaran kerana ia memerlukan tahap kesabaran yang tinggi untuk
berbuat demikian. Ini akan menjadi iktibar untuk pemain atau pasukan yang lain
di masa hadapan. Dalam masa yang sama, anugerah Fair Play kepada pasukan perlu diberikan kepada pemain juga. Dengan
wujudnya anugerah pemain paling “bersih”, kita menggalakkan sikap yang sama di
kalangan pemain.
Langkah keempat pula lebih berfokus
kepada mengurangkan keagresifan di kalangan penonoton. Menurut Shaharudin
(2001), keagresifan di kalangan pemain sebenarnya berkait rapat dengan
keagresifan penonton. Ini adalah kerana penonton merupakan di antara faktor
yang boleh mencetuskan keagresifan di kalangan pemain semasa perlawanan
berlangsung dan kadangkala menjadi pencetus keagresifan apabila wujudnya
konfrontasi di antara pemain dan penyokong. Justeru, antara langkah yang boleh
diambil untuk mengatasi masalah ini adalah dengan memastikan tiada senjata atau
perkara yang membahayakan diri dibawa masuk oleh penyokong ke dalam stadium.
Pihak pengurusan stadium perlu memastikan agar penonton tidak membawa masuk
barang-barang yang membahayakan.
Langkah kelima adalah dengan
memisahkan penyokong pasukan. Penyokong kedua-dua pasukan perlu dipisahkan agar
tidak berlakunya pergaduhan atau perkara yang tidak diingini di dalam stadium.
Kita perlu elakkan situasi seperti di Eropah di mana ramai penonton yang mati
kerana pergaduhan di antara penyokong.
Langkah yang terakhir yang boleh
digunakan untuk mengurangkan kes tersebut adalah dengan cara media tidak
menjadi batu api kepada kedua-dua pasukan. Pihak media perlu memastikan agar
laporan atau publisiti yang diberikan atau dikeluarkan terhadap perlawanan
tersebut tidak ada sentimen yang negatif. Ini adalah kerana kewujudan sentimen
yang negatif di antara kedua-dua pasukan bukan sahaja akan membakar api dendam
di antara pemain, malahan di antara kedua-dua penyokong. Ini akan menyebabkan
suasana perlawanan menjadi tegang dan merbahaya seperti yang berlaku dalam
pertandingan separuh akhir Piala Eropah di antara kelab Leeds United dari
Englang dan kelab Galatasary dari Turki.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan