ISU
ALAM SEKITAR DAN SUKAN OLIMPIK BEIJING
Prof.
Datuk Dr. Zaini Ujang
Semasa pesawat hampir
mendarat di lapangan terbang Beijing ,
saya dapat melihat dengan jelas ruang udara berubah dari cerah menjadi kelam.
Semakin hampir mendarat semakin ketara bahawa perubahan tersebut disebabkan jerebu
akibat pencemaran udara yang menyelubungi kotaraya Beijing .
Demikian pengalaman saya
pada September 2006 ketika menghadiri Kongres Air Sedunia. Secara kebetulan
tapak kongres tersebut berhampiran dengan stadium ”sangkar burung” Olimpik.
Ketika itu aktiviti pembinaan berjalan rancak menyebabkan ruang udara bukan
sahaja kelam bahkan kesan debu serta bahan cemar udara dapat dirasakan semasa
bernafas sehingga menjejaskan kesihatan saya sepanjang sepuluh hari berada di Beijing .
Pengalaman sedemikian turut
dialami ramai peserta kongres lain. Demikian fenomena ekosistem Beijing sehingga apa sahaja aktiviti bertaraf antarabangsa
yang dianjurkan di Beijing
sejak beberapa tahun kebelakangan ini akan dikaitkan dengan risiko kesihatan
peserta dan pengunjung luar negara. Terkini ialah sukan Olimpik bermula hari
ini pada tarikh 8/8/08 iaitu satu deretan angka yang diharap membawa tuah menurut
kepercayaan numberologis Cina.
Sukan Olimpik Beijing
merupakan penganjuran acara yang terbesar dalam sejarah modern China pada
peringkat antarabangsa. Itu sebabnya persediaan dan pemaparan imej diberi
keutamaan pemerintah China .
Sukan Olimpik bukan sahaja dijangka dapat memperagakan kehebatan ahli sukan China
malah direncana supaya menjadi pentas mempertontonkan kemajuan negara tersebut
dalam segala bidang.
Memang dimaklumi bahawa China mencatatkan kadar pertumbuhan ekonomi konsisten
melebihi 10 peratus sejak awal tahun 1990-an. Pertumbuhan sedemikian pesat juga
menunjukkan bahawa China
dapat menangani kepelbagaian isu sosio-ekonomi dalam kerangka baru dengan mengadunkan
kapitalisme untuk memacu pembangunan ekonomi dengan status quo sistem politik
komunisme.
Banyak pihak akur bahawa China
berjaya memacu kemajuan dengan peningkatan menakjubkan. Kadar pembangunan yang
dicatat merupakan rekod terpantas setakat ini. Hal ini menjadikan China pesaing
utama negara-negara maju khususnya dari segi pengeluaran pelbagai produk di
samping memanfaatkan saiz pasaran dalam negeri melebihi satu billion pengguna.
Sebagai pesaing, banyak negara maju cuba
mencari kelemahan China
untuk sekurang-kurangnya menjustifikasikan bahawa kemajuan China dicapai
dengan mengorbankan ciri, nilai dan piawai sejagat. Dalam hal ini ciri paling
ketara dianggap kelemahan China
ialah pelestarian alam sekitar.
Sejak
memenangi hak penganjuran Sukan Olimpik pada 2001, China merancang sesuatu yang
luar biasa dari segi kemudahan sukan, pelancongan dan kemudahan awam. Malah
sebahagian besar pembangunan fizikal Beijing dirancang semula untuk memenuhi
keperluan penganjuran Sukan Olimpik. Ini melibatkan kemudahan pengangkutan,
penginapan, perdagangan dan pelancongan. Malah masyarakat tempatan turut
mendapat pelbagai kemudahan dan prasarana moden selari dengan imej baru China.
Namun
demikian, aspek pelestarian alam sekitar agak ketinggalan. Pencemaran udara dan
sumber air semakin meningkat seiring dengan peningkatan kadar pertumbuhan
ekonomi. Pengurusan sisa juga menjadi kian mencabar. Sehingga kini China tidak
banyak pilihan kecuali menangani pencemaran alam sekitar secara reaktif.
Menyedari
dilema tersebut, China telah mengambil pelbagai langkah mengurangkan impak alam
sekitar dengan tegas dan biaya besar. Strateginya ialah mengurangkan bahan
cemar di sumber dan memantapkan ekosistem untuk menyerap muatan pencemaran yang
dibebaskan. Selain itu, Program Alam Sekitar Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu
(UNEP) juga memberi khidmat kepakaran. Negara-negara maju turut “membantu”. Sejak
beberapa bulan lalu, kira-kira 100 orang saintis alam sekitar dari 20 institusi
antarabangsa memantau tahap pencemaran udara di Beijing dan kawasan sekitarnya.
Kesemua institusi tersebut – dari Amerika Syarikat, Jepun dan Jerman –
menggunakan pelbagai teknologi canggih termasuklah remote sensing menerusi cerapan satelit. Selain itu, sampel rawak
dipilih di kalangan penduduk Beijing untuk menilai sejauhmana kesan pencemaran
udara dan air terhadap pelbagai inisiatif dilakukan kerajaan.
Biarpun
banyak inisiatif dilakukan namun jerebu dan pencemaran udara masih berlaku
terutamanya ketika cuaca panas dengan kelajuan angin minimum. Kerajaan China memang
peka dengan masalah tersebut lantas memperkenalkan pelbagai inisiatif yang
sesetengahnya dianggap radikal seperti penutupan operasi 267 kilang di sekitar
Beijing yang dikenalpasti mencemarkan udara. Selain itu, penggunaan kenderaan
persendirian juga dikurangkan sebanyak sejuta (1,000,000) sejak minggu ketiga
Julai lalu. Bilangan penutupan kilang dan pengurangan kenderaan di jalanraya
tersebut dijangka akan ditingkatkan jika tahap pencemaran udara masih tidak
dapat dikurangkan.
Dari segi
peruntukan, sejumlah $17 billion dolar telah dibelanjakan untuk mengawal pencemaran
alam sekitar. Hampir 90 peratus kumbahan dirawat dengan sempurna, keluasan
kawasan hijau menjadi 50 peratus dan penggunaan gas asli membekalkan 60 peratus
tenaga elektrik di Beijing. Sementara itu 50,000 teksi dan 10,000 bas baru
digunakan mengantikan yang lama supaya pelepasan asap dapat dikawal. Jaringan
keretapi bandar ditambah 200 km.
Pelaburan
tersebut tidak termasuk kos melepas menerusi pelbagai insiatif yang menjejaskan
keuntungan syarikat dan individu menerusi penutupan sementara kilang,
pengurangan kenderaan persendirian di jalanraya dan sebagainya. Standard
pelepasan bahan cemar air dan udara juga diperketatkan setanding kebanyakan
negara Eropah.
Ternyata
China memahami betapa pelestarian alam sekitar bukan lagi suatu trend, kerenah
atau kegilaan rakyat negara maju semata-mata. Pelestarian alam sekitar penting untuk
semua pihak. Tanpa alam sekitar yang bersih, bebas-cemar dan seimbang maka
kesihatan serta kesejahteraan manusia terancam. Pelancong, atlit
dan peminat sukan merasa tidak selamat. Malah implikasi ekonomi begitu ketara.
Pengalaman
China menganjurkan Sukan Olimpik ini menunjukkan bahawa isu alam sekitar juga boleh
dieksploit sehingga menjejaskan imej dan nama baik sesebuah negara. Foto atlit memakai topeng
muka (mask) ketika berlatih dibesar-besarkan media antarabangsa seolah-olah
tahap pencemaran udara di Beijing
akan menjejaskan prestasi mereka di temasya tersebut sehingga mendapat bantahan
Majlis Olimpik Antarabangsa.
Selain itu, penganjuran
Sukan Olimpik Beijing juga menunjukkan bahawa perancangan projek pembangunan -
apatah lagi berskala mega - perlu disepadukan dengan inisiatif pelestarian alam
sekitar sejak awal lagi. Perancangan awal bersifat pencegahan dan jauh lebih
murah. Mencegah juga lebih efektif berbanding mengawal limpahan pencemaran yang
terjana menerusi urbanisasi dan industrialisasi.
Prof.
Datuk Dr. Zaini Ujang ialah Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi)
Universiti Teknologi Malaysia dan pengurus air dan alam sekitarbertauliah
(CWEM).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan