Khamis, 17 Januari 2013

PELANCONGAN SUKAN DAN IMPAK TERHADAP ALAM SEKITAR


PELANCONGAN SUKAN DAN IMPAK TERHADAP ALAM SEKITAR
Sukan merupakan satu medium yang mampu menjana ekonomi sesebuah negara selain melahirkan insan yang sihat dari pelbagai segi, baik dari luaran mahupun dalaman. Pernyataan ini juga selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang mahu melahirkan insan yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial yakni JERIS.

Berbalik semula kepada isu yang difokuskan, pelancongan sukan merupakan satu medium utama yang menjadi tulang belakang kepada perkembangan sukan di negara Malaysia amnya. Sekiranya diperhatikan, rakyat negara ini khususnya para remaja amat gemar kepada aktiviti ekstrem contohnya lumba basikal downhill dan  motorcross yang menjadi kegilaan anak muda masa kini dan sukan ekstrem ini juga melibatkan eksploitasi  alam sekitar yang maksimum.

Menurut Shaharudin (2001), aktiviti fizikal memberikan kesan yang positif kepada tahap kesihatan psikologi individu dan kesan ini dapat dilihat daripada penurunan tahap stress dan depresi, peningkatan mood, peningkatan konsep kendiri dan akhir sekali peningkatan tahap kualiti kehidupan. Oleh itu, alam sekitar menjadi medium untuk mencari ketenangan daripada bebanan hidup seharian.

Walau bagaimanapun, perkembangan pelancongan sukan yang semakin membangun selaras dengan perkembangan teknologi membawa kesan terhadap ekologi alam sekitar. Pencemaran seperti pencemaran bunyi, air dan udara merupakan balasan daripada alam sekitar terhadap kerakusan penghuninya yang mengekploitasi secara berlebihan.  Sebagai contoh, aktiviti pacuan empat roda (4 × 4) menjadi antara penyumbang pencemaran alam. Bunyi jentera dan enjin yang menggangu ketenangan alam di mana secara tidak langsung akan menggangu penghuni hutan akibat daripada pencemaran bunyi. Aktiviti ini juga boleh mengakibatkan pencemaran air yang serius akibat hakisan denai-denai dan anak sungai yang juga terdedah kepada pencemaran minyak kenderaan yang digunakan.

Pembukaan hutan secara berleluasa juga boleh menggangu kepada keseimbangan alam sekitar. Pembukaan hutan ini menyebabkan pupusnya spesis – spesis hidupan liar dan keadaan ini sekiranya tidak dibendung boleh menyebabkan pupusnya khazanah alam. Malah, generasi seterusnya tidak akan dapat mengenali khazanah yang perlu mereka ketahui. Sebagai contoh sukan golf memerlukan keluasan berpuluh – puluh hektar dan keluasan ini bergantung kepada jumlah lubang.  Anggaran keluasan adalah 23 hektar dan lebih bergantung kepada jumlah lubang. Contohnya, padang golf yang mempunyai 9 lubang memerlukan keluasan padang antara 23 hingga 25 hektar.

Justeru, untuk mengelakkan masalah ini menjadi semakin teruk pelbagai usaha perlu dilakukan dan setiap agensi kerajaan dan bukan kerajaan perlu mencari alternatif agar khazanah yang sedia ada tidak pupus dek kerakusan kita sendiri dalam mengejar pemodenan. Peranan para pendidik juga perlu dalam penjagaan dan pemuliharaan alam sekitar daripada kemusnahan dengan memberikan input awal kepada generasi muda agar apabila meningkat dewasa kelak. Melentur buluh biarlah dari rebungnya.

Tiada ulasan: